“Kedutan makin jelas, leher macam ayam belanda” – Datuk Zainalabidin dedah guna ‘Botox’ demi jaga penampilan.
Penyanyi veteran, Datuk Zainalabidin berkongsi mengenai rawatan ‘botox’ yang digunakannya bagi memastikan keadaan kulit sentiasa nampak sihat dan tegang.
Zainal, 64, berkata, sebagai penghibur, dia perlu menitikberatkan mengenai penampilan diri.
“Sebagai seorang penghibur, beginilah kehidupan saya, di mana, saya berdepan dengan orang ramai dan selalunya, ‘close up’. Ditambah pula dengan kualiti kamera sekarang yang berkualiti tinggi, jadi, memang nampak segala kedutan.
“Jadi, bagi memastikan penampilan saya sihat, ia harus diperbaiki dan dirawat dengan sebaiknya. Tapi, sebenarnya, saya tak malu untuk katakan saya buat ‘botox’. Tapi, bukan ‘filler’.
“Ini adalah demi mendapatkan kulit yang sekata, segar dan sihat. Selagi saya sihat, selagi itu saya masih boleh beraksi di atas pentas,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai sama ada dia terbuka untuk melakukan prosedur tarik benang untuk menegangkan bahagian leher, Zainal berkata, dia akan melakukannya sekiranya perlu.
“Kesihatan tak boleh dibeli, tapi kita kena berusaha mendapatkannya.
“Botox ini, masih lagi baru-baru ini (digunakan). Apabila saya pergi berjumpa dengan pihak Idealyst, mereka maklumkan mengenai keadaan kulit saya yang berkedut terutamanya, bila saya senyum.
“Bahagian leher saya pula, dah mula nampak macam ayam belanda. Jadi, ia tak elok sekiranya ada gambar atau visual ‘close up’.
“Jadi, bagi menghindari masalah itu, saya kena rawat. Tapi, saya belum buat prosedur tarik benang. Mungkin di masa akan datang, saya akan buat sekiranya perlu,” katanya.
Zainal juga menyarankan agar mereka yang ingin melakukan rawatan wajah supaya merujuk kepada klinik atau pengamal perubatan bertauliah untuk keselamatan.
“Ia adalah untuk karier saya sebab saya nak bertahan lebih lama. Mereka yang muda, masih muda dan cantik. Jadi, saya nak penampilan saya nampak sihat.
“Bukanlah jenis yang bengkak sana sini. Jadi, janganlah dibuat keterlaluan. Pergi kepada doktor yang bertauliah dan bukan pusat kecantikan yang tidak bertauliah kerana tak selamat,” katanya.
Terdahulu, Zainal ditemui pada acara Minum Petang bersama Datuk Zainalabidin anjuran Idealyst Clinic yang berlangsung di Bangsar.