Kecoh! Wanita warga asing buat kacau ganggu jemaah solat jumaat, hina Nabi Muhammad di Masjid Jamek.
Seorang wanita warga asing ditahan selepas didakwa membuat kacau ganggu di pekarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang.
“Pada pukul 4.30 petang, sepasukan polis berjaya menahan seorang perempuan warga asing berusia 31 tahun di lokasi kejadian dipercayai terlibat dengan kes tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Dellhan, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan bagi menjalankan siasatan lanjut.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 1 minit 55 saat di aplikasi Facebook yang mendakwa seorang wanita warga asing telah membuat kacau ganggu dengan menghina Nabi Muhammad di pekarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini.
Video tersebut turut memaparkan beberapa individu dipercayai cuba menghalau wanita berkenaan selepas membuat kacau ganggu tersebut namun wanita berkenaan tetap meninggikan suara dan membuat provokasi.