Doktor kesihatan dikenali sebagai Dr Qarafi Tee itu berkata, dua mangsa yang maut akibat keracunan makanan baru-baru ini boleh terjadi disebabkan satu bakteria dipanggil sebagai Salmonella.
Sebelum ini, seorang pelajar tingkatan lima dan kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Arrifin Mohamad Nasir, kedua-dua mangsa maut selepas dipercayai menjamah bungkusan makanan yang dibawa dari sekolah iaitu bihun dan telur goreng.
Difahamkan, makanan tersebut ditempah bagi satu program di sebuah sekolah agama sekitar Sungai Cincin, Gombak, Selangor pada Sabtu lalu (8 Jun).
Keracunan Makanan Boleh Terjadi Sebab Adanya Bakteria Salmonella
Susulan kes berkenaan, seorang doktor kesihatan dikenali sebagai Dr Qarafi Tee di laman TikTok (@qarafitee) telah tampil memperjelaskan bagaimana keracunan makanan boleh berlaku akibat menjamah hidangan itu.
Jelasnya, ia boleh terjadi disebabkan bakteria dikenali sebagai Salmonella yang boleh didapati daripada telur.
Meskipun telur merupakan satu sumber protein yang bagus, banyak vitamin dan elok untuk tumbesaran kanak-kanak, tetapi ia tidak terlepas daripada risiko wujudnya bakteria Salmonella.
Tidak kira sama ada telur segar baru sahaja keluar dari punggung ayam ataupun pada kulit telur yang belum lagi pecah.akan Makanan Yang Tak Dimasak Sepenuhnya Berisiko Dijangkit Salmonella
Cara seseorang itu boleh dijangkiti bakteria Salmonella adalah dengan makan makanan yang tidak masak sepenuhnya. Sebagai contoh, kuning telur separuh masak.
Kadang-kadang orang suka kuning telur dia cair kan? Tetapi benda-benda macam tu yang boleh meningkatkan risiko untuk budak-budak kena Salmonella. Memang saya tak syorkan budak umur 5 tahun ke bawah untuk makan telur yang tak dimasak sepenuhnya.
Tambah pakar itu, kanak-kanak dalam lingkangan umur tersebut mempunyai sistem perut yang kurang matang berbanding golongan dewasa. Sekiranya anak kecil dijangkiti Salmonella, komplikasi yang akan ditanggung juga adalah tinggi.
Sekiranya, individu tersebut tidak dirawat, maka ia boleh mengundang maut seperti mana dilaporkan dalam kes terbaharu ini.
Tanda-tanda Seseorang Dijangkiti Bakteria Salmonella
Antara tanda-tanda anda dijangkiti Salmonella adalah seperti berikut:
- Muntah
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Demam
- Kekejangan pada bahagian perut
- Rasa haus
- Sukar membuang air kecil
- Pening kepala
Jika tidak mendapatkan rawatan lanjut dengan pakar, kanak-kanak akan mengalami masalah dehidrasi. Untuk rawatan kes berkenaan, doktor akan memberikan antibiotik dan juga memasukkan air dalam badan pesakit.
Jangkitan Salmonella Mudah Dielakkan
Di dalam perkongsian sama, Dr Qarafi berkata bakteria Salmonella amat mudah untuk dimatikan iaitu dengan menggunakan suhu sekurang-kurangnya 50 ke 60 darjah celcius sahaja.
Oleh itu, ia Salmonella boleh dihapuskan dengan memasak sepenuhnya makanan anda menggunakan suhu 100 darjah celcius.
Pakar berkenaan turut menasihati ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berusia 5 tahun ke bawah untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah jangkitan Salmonella daripada berlaku.
@qarafitee Sebab kenapa umur 5 tahun kebawah tidak digalakkan makan telur separuh masak #drqarafitee #viral #fyp
Orang Ramai Makin Bimbang Nak Makan Telur Separuh Masak
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai dilihat semakin khuatir untuk makan telur separuh masak selepas ini.
“Lepas ni makan telur goreng yang masak 100% sahaja,” ujar seorang pengguna TikTok.
Malah ada juga penjaga yang berkongsi pengalaman apabila si kecil perlu dirawat ke hospital disebabkan bakteria jahat tersebut.
“Anak saya dimasukkan ke hospital hampir dua minggu disebabkan Salmonella. Satu pengalaman yang paling sedih. Anak baru dua tahun lebih,” kata seorang individu.
Sementara itu, seorang individu turut mengingatkan orang ramai khusus buat pengendali makanan untuk menyediakan juadah dengan sebaiknya kerana ia melibatkan nyawa seseorang.
“Jangan sesekali ambil mudah ketika menyediakan makanan. Pengendali makanan perlu faham tentang zon bahaya suhu dan keselamatan makanan bagi mengelakkan pencemaran silang berlaku,” jelas seorang lelaki.