Kecoh aset di banglo kena sita kerana hutang lebih RM1 juta, Vida tampil buka mulut.
Selepas kecoh mengenai barangan di kediamannya yang disita pada Isnin, akhirnya usahawan sensasi Datuk Seri Vida membuka mulut untuk menjawab mengenai kontroversi tersebut.
Menurut Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, dia akan memberikan kerjasama penuh terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan ini.
Kata Vida, dia juga telah melantik peguam untuk membantu menguruskan perkara tersebut mengikut undang-undang.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Vida berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram pada malam Selasa.
Dalam hantaran tersebut, Vida turut memuat naik video yang memaparkan dia bersama anaknya, Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, ketika berada di luar negara.
Dia yang kini berada di China bagaimanapun berterima kasih terhadap keprihatinan orang ramai berhubung isu viral berkenaan.
Dalam masa yang sama, dia berharap orang ramai berhenti mengkritik dan memberi ruang untuknya menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional,” ujarnya.
Sebelum ini, mstar melaporkan beberapa aset di banglo milik Vida di Meru, Ipoh, Perak terpaksa disita.
Ia berikutan Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication, sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.
Syarikat tersebut dikatakan telah bekerjasama dengan Vida untuk melakukan pengubahsuaian bangunan pejabat selebriti itu, Vida All Star Studio, yang terletak di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam.
Semasa proses sitaan, peguam yang mewakili plaintif, iaitu Samir Zainal, memaklumkan bahawa pihak mereka menyita empat buah kereta mewah iaitu dua buah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace, dan BMW X7.
Selain itu, televisyen jenama Samsung bersaiz 100 inci, televisyen Samsung 85 inci, permainan konsol, set alat muzik, sofa sebanyak 10 unit dan piano berjenama Kawai turut disita.
Bukan itu sahaja, mereka juga menyita almari sebanyak lapan unit, pasu bunga sebanyak 30 unit, penghawa dingin 15 unit, lukisan eksklusif sebanyak enam unit dan lampu hiasan chandelier.
Kesemua barangan tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar dan jika hutang tersebut tidak dijelaskan, satu acara lelongan akan diadakan pada 9 Disember depan.