Kartel dadah terbesar di Sabah tumpas, ketua sindiket bergelar ‘Datuk’ penaung NGO ditahan.
Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah dengan penahanan 10 individu termasuk ketua sindiket.
Tangkapan dibuat jam 2.45 pagi semalam hasil beberapa serbuan di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sindiket dipercayai mempunyai jaringan pengedaran antarabangsa dan tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran di Semenanjung sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri itu, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.
“Dadah dibawa ke Sabah menggunakan syarikat penerbangan komersil dan kiriman kargo laut.
“Bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar-pengedar sindiket, sebelum diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Ujarnya, siasatan mendapati ahli sindiket memiliki pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, banglo, 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, pembuatan serta ‘oil and gas’, selain memiliki sebuah feri dan rangkaian restoran.
Malah, ketua sindiket berusia 40-an dan bergelar ‘Datuk’ menjadi penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi aktiviti haram itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Siasatan di bawah SOSMA adalah bagi membolehkan pembanterasan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh.
“Siasatan juga sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.
Pada masa sama, PDRM turut menyiasat penglibatan sindiket dalam aktiviti penyeludupan kontraban serta barangan bersubsidi dari Malaysia ke Indonesia dan Filipina.