Kapal Malaysia didakwa curi pasir laut, menteri Indonesia dedah kerugian RM66 juta.
Kejadian kapal berbendera Malaysia yang didakwa mencuri pasir laut di perairan Kepulauan Riau kini sedang hangat diperkatakan oleh negara jiran Indonesia.
Menurut laporan berita Tempo, Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Sakti Wahyu Trenggono, yang kebetulan berada di kawasan itu pada 9 Oktober 2024, berjaya menggagalkan kegiatan haram ini yang menyebabkan kerugian lebih RM66 juta (Rp223 miliar) kepada Indonesia.
Ketika kunjungan kerja di Pulau Nipa, Menteri Trenggono memerintahkan pasukan Direktorat Jenderal Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan (PSDKP) untuk segera memberhentikan dan memeriksa dua kapal berkenaan, iaitu MV YC 6 dan MV ZS 9.
Kedua-dua kapal ini dikesan sedang mengambil pasir laut tanpa dokumen yang sah, dengan kapten kapal adalah warga Indonesia dan anak kapal terdiri daripada 13 warga China serta 1 warga Malaysia.
Menurut Victor Gustaaf Manoppo, Direktur Jenderal Pengelolaan Kelautan dan Ruang Laut (PKRL), tindakan pencurian ini telah menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem laut serta kerugian hasil negara.
Anggaran pasir yang dicuri oleh kapal Malaysia adalah sebanyak 10 ribu ton dalam satu kali operasi, yang dilakukan sebanyak 10 kali sebulan. Ini menjadikan jumlah pasir yang diangkut keluar dari perairan Indonesia sekitar 1,2 juta ton setiap tahun.
Pasir yang dikorek oleh kapal-kapal ini dipercayai dibawa ke Singapura.
Victor juga menegaskan bahawa selain kerugian sumber, kejadian ini juga mengakibatkan kerugian dalam bentuk hasil cukai, bayaran izin penggunaan ruang laut (KKPRL), dan persetujuan eksport yang tidak dipatuhi oleh pelaku.
Menteri Sakti Wahyu Trenggono bersama PSDKP kini sedang memperketat pengawasan di perairan Indonesia, khususnya di kawasan sempadan.
Victor turut menekankan perlunya sanksi tegas dikenakan terhadap pelaku untuk memastikan mereka menghentikan kegiatan pencurian sumber daya laut ini.
Polisi Khusus (Polsus) Kelautan yang bertanggungjawab mengawal sumber daya kelautan telah memainkan peranan penting dalam mengekang pencurian dan kerosakan ekosistem laut.
Sejak awal 2024, Polsus Kelautan telah berjaya menangani 108 kes berkaitan pengelolaan wilayah pesisir dan pulau-pulau kecil, termasuk kes pemanfaatan ruang laut tanpa izin, penangkapan ikan secara merusak, dan pelanggaran lain.