Kampung Umoja hanya dihuni kaum wanita, lelaki diharamkan sama sekali.
Di mana-mana kawasan perkampungan di seluruh dunia, kita akan dapati kaum lelaki dan wanita dapat hidup aman berkeluarga. Namun, pemandangan seperti itu tidak dapat dilihat di Umoja, sebuah perkampungan di bahagian utara Kenya di mana penduduknya terdiri hanya daripada wanita sahaja.
Di Umoja, kaum lelaki diharamkan sama sekali. Kampung Umoja bukanlah kawasan perkampungan baru, sebaliknya telah wujud sejak 25 tahun yang lalu. Perkataan “Umoja” itu berasal dari bahasa Swahili yang membawa maksud perpaduan.
Sejarah Asal-Usul Umoja
Menurut sejarah, kawasan perkampungan ini dimulakan sekitar tahun 1990 oleh kira-kira 15 orang wanita yang pernah menjadi mangsa keganasan seksual oleh kaum lelaki, terutamanya oleh golongan askar British yang pernah menjajah kawasan ini suatu ketika dahulu. Kini, kampung ini telah mempunyai kira-kira 50 orang penduduk.
Antara golongan wanita yang mendiami kampung ini termasuklah mangsa rogol dan wanita yang diusir oleh keluarga kerana melarikan diri daripada perkahwinan secara paksa yang diatur oleh keluarga masing-masing. Kampung ini diketuai oleh Rebecca Lolosoli, seorang pejuang hak asasi wanita. Beliau sendiri pernah dipukul oleh lelaki kerana lantang mempertahankan hak asasi wanita.
Sementara itu, penduduk kampung ini menjana pendapatan melalui aktiviti membuat kraftangan dan mengukir batu permata. Selain itu, mereka turut menerima sumbangan daripada masyarakat setempat, serta menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pelancong yang melawat kampung tersebut.
Bagi mengawal keselamatan kampung, ia dikelilingi oleh pagar berduri. Dari segi undang-undang, penduduk Umoja merupakan pemilik sah tanah di kampung tersebut kerana mereka telah membelinya daripada kerajaan Kenya. Walaupun terdapat cubaan daripada kaum lelaki untuk mengurangkan jumlah pelancong yang melawat Umoja dengan menjual hasil kraftangan pada harga lebih murah, Umoja masih tetap bertahan sehingga ke hari ini.
Pendidikan Seks untuk Kaum Wanita
Sebagai pejuang hak asasi wanita, kaum wanita di kampung ini aktif mengajar wanita dari komuniti dan kampung berdekatan mereka tentang hak asasi wanita dan pendidikan seks. Mengikut budaya tempatan, adalah kebiasaan wanita dikahwinkan pada usia yang sangat muda.
Penduduk kampung ini percaya bahawa adat dan budaya tersebut perlu diubah memandangkan perkahwinan adalah satu tanggungjawab yang besar. Menjadi seorang ibu pada usia muda bukanlah satu tanggungjawab yang ringan. Malah, mereka percaya pada umur belasan tahun, seorang wanita belum cukup kuat dari segi fizikal untuk melahirkan bayi.
Adakah mereka membenci kaum lelaki?
Satu perkara yang mungkin pelik bagi masyarakat luar adalah kewujudan ramai kanak-kanak di Umoja. Persoalannya, dari manakah asalnya kanak-kanak ini sekiranya semua penduduk di perkampungan ini adalah perempuan? Bagaimanakah wujudnya kanak-kanak ini sedangkan kaum wanita di sini tinggal tanpa kaum lelaki?
Dengan kewujudan kampung yang dikhaskan untuk wanita ini, ramai orang beranggapan bahawa mereka sangat membenci kaum lelaki. Realitinya, mereka tidak membenci lelaki, tetapi lebih berhati-hati dengan lelaki kerana pengalaman lampau bersama lelaki.
Adalah normal bagi setiap wanita untuk mempunyai keinginan seksual dan ingin memiliki anak. Begitu juga golongan wanita yang hidup di Umoja. Menurut penduduk Umoja, mereka bebas untuk bergaul dan berhubungan dengan kaum lelaki di luar perkampungan tersebut.
Walaupun mempunyai anak hasil hubungan dengan lelaki luar, mereka kekal tidak berkahwin dan sebaliknya menjaga anak tersebut secara sendirian. Bagi golongan lelaki yang tinggal berdekatan kampung itu pula, mereka mengakui berhubungan dengan 3 atau 4 orang wanita dari perkampungan Umoja.