‘”Kalau saya bercakap, orang akan toleh dua kali sebab terkejut” – Wanita bersuara garau persis seorang lelaki tulen raih perhatian warganet
Sejak akhir-akhir ini tular beberapa video di media sosial memaparkan seorang wanita yang mempunyai keunikan apabila suaranya garau persis seorang lelaki tulen.
Terbaharu, wanita yang dikenali sebagai Nurnazrah Abd Samat ini menafikan dirinya menggunakan aplikasi suara sebagai cara untuk menarik perhatian sekaligus meraih ratusan ribu tontonan daripada wargamaya di media sosial.
Suara mula garau sejak usia 18 tahun
Memetik laporan Harian Metro, Nurnazrah memaklumkan bahawa dia dilahirkan sebagai wanita yang cukup sifat dan mempunyai suara seperti perempuan selepas mengalami perubahan episod ‘keremajaan’.
Namun begitu, suaranya mula berubah seperti seorang lelaki ketika dia berusia 18 tahun dan mula ‘pecah’ sehingga berubah menjadi garau seperti seorang lelaki dewasa.
Saya pun tiada jawapan kenapa suara saya boleh berubah seperti ini dan juga ada berjumpa doktor, tetapi ia tidak mempunyai masalah termasuk kotak suara atau tonsil. Jadi saya terima saja pemberian Allah SWT dengan lapang dada.
Mungkin juga suara saya pecah dan garau sebab suka menyanyi lagu yang bernada tinggi, menjerit yang mungkin memberi kesan kepada suara saya. Tetapi tak apalah asalkan saya ada suara dan boleh bercakap.
Tambah wanita yang bekerja sebagai ejen hartanah itu lagi, dia sama sekali tidak mengambil peduli dengan tanggapan yang dilemparkan sesetengah netizen terhadapnya sebaliknya bersyukur masih diterima baik oleh rakan serta ahli keluarganya yang lain meskipun mereka pada mulanya berasa kekok untuk berinteraksi dengannya.
Apa saja komen orang saya tak ambil peduli. Biasanya kalau saya bercakap, orang akan toleh dua kali sebab terkejut saya berwajah wanita dan bertudung, tetapi suara seperti lelaki.
@harszanjualrumah Replying to @Jaz__ #shouldbeme ♬ Monkeys Spinning Monkeys – Kevin MacLeod & Kevin The Monkey
Saya terpaksa menunjukkan kad pengenalan di TikTok sebagai bukti yang saya perempuan selain kongsi video gambar ketika kecil bersama ibu bapa dan kalau di luar orang mudah percaya kerana memang fizikal seperti seorang perempuan.
Sebagai seorang wanita, Nurnazrah juga berharap agar dia dapat bertemu dengan seorang lelaki yang boleh menerima dirinya seadanya termasuk keunikan suara yang dimiliknya itu.
Suara itu menjadi kelebihan kerana ia membantu melindungi diri ketika saya menunggang motosikal ketika balik kerja pada waktu malam daripada diganggu lelaki nakal.