Kakak Ninja muncul juara kategori wanita larian jarak 162km

Photo of author

By Syima Iza

Kakak Ninja muncul juara kategori wanita larian jarak 162km.

Di sebalik niqab dan pakaian labuh wanita berusia 37 tahun ini, keupayaannya dalam larian ultra (melebihi 42 kilometer) sukar untuk disangkal. Malah, namanya kini semakin dikenali di pentas larian tempatan.

Kehadirannya yang sering disapa pelari tempatan sebagai Kakak Ninja kerana pemakaiannya dan kemampuannya berlari dalam jarak ultra, serta sering berada di tangga podium.

Kakak Ninja muncul juara kategori wanita larian jarak 162km

Baru-baru ini, Mukminah Paiman sekali lagi mencipta sejarah peribadinya dalam kejohanan larian ultra di UiTM Ultra Vol.7 apabila bergelar juara kategori wanita untuk jarak 162KM. Catatan masa yang direkodkannya untuk jarak itu hanya mengambil masa 27 jam 13 minit.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ina dalam kalangan rakan-rakan sebenarnya mula menceburi dunia larian sejak 2017. Ketika itu, dia hanya menyertai jarak lapan kilometer sahaja dan berjaya menduduki tempat ke-11.
Lama kelamaan, dia merasakan tenaga dirinya sebenarnya boleh pergi lebih jauh daripada jarak pendek atau marathon, 42km, dan mula mencabar diri untuk kategori 50km pertamanya pada 2019.

Percubaan itu mencipta kejayaan peribadi apabila dia berjaya menduduki posisi keempat terbaik dalam kategori wanita.

Ina berkata, dia mula menyertai aktiviti larian kerana ketika itu ingin mendapatkan berat badan yang ideal setelah pernah suatu ketika dahulu beratnya mencecah 69 kilogram.

“Lama kelamaan, saya merasakan aktiviti larian ini sesuatu yang menarik untuk dijadikan hobi yang serius. Apatah lagi, ia memberi kesan yang baik kepada kekuatan mental dan fizikal saya.”

“Saya juga tidak melihat pemakaian berniqab dan sentiasa menutup aurat sebagai suatu halangan dalam dunia larian kerana perkara paling penting ialah saya perlu mempunyai kekuatan stamina serta mental ketika beraksi di pentas perlumbaan,” katanya.

Anak kelahiran Johor itu juga berkata, sebenarnya pelari berniqab sepertinya mempunyai cabaran tersendiri, terutama ketika berlari pada waktu hujan, memandangkan niqab yang dipakai akan ‘melekat’ di muka.

“Teknik pernafasan yang biasanya dipraktikkan oleh banyak pelari tidak bersesuaian dengan diri saya kerana pemakaian niqab ini memerlukan saya mencari teknik yang sesuai dengan pemakaian sebagai seorang Muslimah yang berniqab.

“Bagi saya, berniqab bukan satu halangan untuk aktiviti harian termasuk menyertai kejohanan larian jarak jauh yang mencecah ratusan kilometer. Perkara paling penting ialah perlu berlatih supaya pada hari kejohanan, saya sudah bersedia dengan sebarang cabaran yang bakal mendatang,” katanya.

Untuk rekod peribadi terbaik Ina bagi kategori 100km, dia pernah mencatatkan masa 13 jam 20 minit dan bagi jarak 50km pula, lima jam 18 minit. Malah, penulis pernah melihat ketika sesi latihannya mencecah 50km dengan purata masa sekitar enam minit tiga puluh saat setiap satu kilometer.

Katanya, secara purata setiap tahun dia akan menyertai antara enam hingga tujuh larian ultra di seluruh negara dan sentiasa meletakkan sasaran untuk berada di podium.

“Pada saya, apabila kita meletakkan sasaran yang lebih tinggi, kita akan berusaha untuk mencapai sasaran itu dengan berlatih secara berdisiplin bagi memastikan kejayaan dapat diperoleh.

“Jika gagal berada di tangga podium, pastinya rasa ralat akan ada, tetapi saya tetap merasa puas kerana saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Jadi, tiada istilah untuk berputus asa, tetapi terus meningkatkan prestasi untuk kejohanan masa depan,” katanya.

Katanya, sebagai pelari berniqab, dia amat memastikan pemakaian yang dipakai ketika berlari sentiasa dalam keadaan yang benar-benar sesuai dengan imej sebagai seorang yang berniqab.

“Saya sentiasa memakai pakaian yang besar dan tidak ketat. Jadi, apabila memakai pakaian yang besar, boleh terjadinya melecet di badan. Justeru, saya perlu mencari material pakaian yang sesuai walaupun ia besar.”

“Material pakaian pada hari ini sudah banyak berkembang dan boleh didapati di pasaran dengan mudah. Tidak perlu berbelanja besar untuk membelinya, asalkan selesa dan tidak melecet, bagi saya itu sudah mencukupi. Perkara paling penting adalah mengasah prestasi ketika berlari,” katanya.

Kakak Ninja muncul juara kategori wanita larian jarak 162km

Pemegang Sarjana Muda Arkitek Perkapalan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kini bergelar jurutera rekaan di sebuah syarikat swasta itu juga berkongsi, resipinya dalam latihan ialah disiplin.

“Dalam seminggu saya hanya berehat kira-kira sehari atau dua hari sahaja daripada latihan larian. Pada hujung minggu, sekurang-kurangnya saya akan berlari lebih daripada 25km.

“Selain itu, bagi memastikan saya dapat mengekalkan momentum larian untuk jarak jauh, saya akan berlatih untuk mendapatkan ‘pace’ larian yang selesa dan mampu kekal walaupun melalui pelbagai bentuk muka bumi ketika berlari,” katanya.

Jelasnya, wanita hari ini walaupun berniqab dan menutup aurat, bukan suatu halangan untuk mereka melakukan aktiviti lasak. Malah, mereka mampu berada di kedudukan yang terbaik jika tahu caranya.

Baca Lagi:
Rupanya inilah burung yang selalu bunyi bising di waktu pagi ketika nak pergi sekolah
IShowSpeed kena lambung sampai terkoyak betis
‘Pak Guard’ dapat angpau berkepuk-kepuk, ramai teruja nak tahu berapa jumlah