Juruterbang rakam cahaya aneh dalam hutan tebal di atas ruang udara Vietnam.
Ketika menaiki pesawat, pemandangan dari udara membuatkan apa sahaja yang ada di darat nampak kerdil.
Lebih menakjubkan apabila menaiki penerbangan pada waktu malam, beribu-ribu titik cahaya boleh diperhatikan bergemerlapan menerangi benua.
Namun, melalui perkongsian tular di laman TikTok, seorang juruterbang mendedahkan fenomena aneh yang meninggalkan seribu satu persoalan kepada orang ramai.
Menerusi video itu, kelihatan gugusan cahaya yang menerangi kawasan hutan tebal.
“Sesiapa yang pernah naik kapal terbang waktu malam dan lalu di atas Vietnam, mereka akan nampak cahaya terang ni.
“Ketika di sini, pesawat boleh dikatakan berada pada ketinggian 35,000 kaki daripada aras laut. Apa benda tu agaknya?
Cahaya itu lagi terang daripada lokasi pusat bandar dekat Vietnam ni,” kata juruterbang berkenaan yang mesra disapa sebagai Uncle Bear.
Panorama yang memukau dan di luar kebiasaan itu mendorong orang ramai untuk membuat spekulasi bagi mencari penjelasan.
@ceoofunclebear Clue dia adalah ladang “______” #unclebear #fly #travel #vietnam #stranglights #night #nightflying ♬ original sound – Sabah Info
“Mereka tengah buat konsert healing dekat dengan nature ke tu? Nampak macam orang duduk pegang lampu suluh melambai-lambai sambil menyanyi.
Dekat Cameron Highlands pun dah ada banyak lampu-lampu macam ni… pengetahuan baharu untuk saya.
“Siapa pembekal tenaga elektrik dekat Vietnam ni? Kalau dah ‘lip lap’ macam ni memang masyuk!
“Nampak macam kebakaran api dalam hutan tu, tapi api dia warna putih, mungkin api fosforus kot?,” kata sebahagian warga maya meneka sambil berseloroh.
Namun begitu, seorang warga maya yang lebih arif dalam soal tersebut tampil memberikan penjelasan yang sebetulnya.
“Saya pernah ambil kursus di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), tempat lampu banyak tu adalah ladang buah naga.
“Lampu berfungsi untuk menarik kehadiran serangga yang akan bertindak sebagai ejen pendebungaan.
“Selain itu, pokok buah naga ni berasal dari kawasan padang pasir Mexico dan Amerika Utara, di sana ketika musim panas, siangnya panjang lebih daripada 13 jam.
“Sebab tu orang Vietnam kena pasang lampu yang terang macam ni untuk tanaman pokok naga mereka,” kata warga maya memberikan penerangan.
Dalam pada itu, warga maya lain turut berkongsikan pengalaman mereka berada berdekatan ladang buah naga terbabit ketika melancong ke Vietnam.
“Saya pernah bercuti road trip di selatan Vietnam, memang berkesempatan lalu dekat ladang buah naga ni, waktu malam saya boleh cakap lagi cerah daripada kawasan perumahan.
“Dekat Cameron Highlands, Pahang pun saya perasan dah ada banyak lampu-lampu macam ni. Satu pengetahuan baharu untuk saya,” ujar warga maya.