Seorang juruterbang dan pembantunya didapati tidur serentak selama kira-kira 28 minit semasa penerbangan Batik Air dari Sulawesi Tenggara ke Jakarta pada 25 Januari lalu.
Kejadian itu didedahkan dalam laporan awal oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) Indonesia, lapor AFP.
Menurut laporan itu lagi, salah seorang juruterbang tidak berehat secukupnya pada malam sebelum penerbangan.
Kira-kira setengah jam selepas pesawat itu berlepas, kapten pesawat meminta kebenaran daripada pembantu juruterbang untuk berehat seketika.
Pembantu juruterbang itu kemudian mengambil alih pesawat, tetapi secara tidak sengaja turut tertidur, kata laporan itu.
“Juruterbang kedua itu mempunyai bayi kembar sebulan. Isterinya menjaga bayi itu dan dia membantu semasa di rumah,” kata laporan itu.
Beberapa minit selepas penghantaran komunikasi terakhir yang direkodkan oleh pembantu juruterbang, pusat kawalan udara di Jakarta cuba menghubungi pesawat itu, namun tiada jawapan.
“Dua puluh lapan minit selepas penghantaran komunikasi terakhir yang direkodkan, juruterbang itu bangun dan menyedari pembantu juruterbangnya sedang tidur dan pesawat itu tidak berada di laluan penerbangan yang betul.
“Dia segera membangunkan rakan sekerjanya, menjawab panggilan dari Jakarta dan membetulkan laluan penerbangan,” kata laporan itu.
Seramai 153 penumpang pesawat Airbus A320 dan empat pramugari tidak mengalami kecederaan semasa penerbangan selama dua jam 35 minit itu dan ia selamat mendarat.
Penyiasat tidak mendedahkan identiti juruterbang, tetapi berkata mereka kedua-dua mereka warga Indonesia berumur 32 dan 28 tahun.
KNKT menggesa Batik Air mewujudkan prosedur terperinci untuk menjalankan pemeriksaan kokpit yang betul dan berkala serta memastikan juruterbang dan kru kabin berehat dengan baik sebelum penerbangan mereka.
Batik Air belum memberi sebarang reaksi ketika dihubungi AFP.