
Jurulatih Muay Thai mengaku ‘bomoh’ rogol, cabul pelajar tingkatan 4, jadikan hamba seks
Jurulatih Muay Thai mengaku ‘bomoh’ rogol, cabul pelajar tingkatan 4, jadikan hamba seks.
Polis menahan seorang jurulatih Muay Thai kerana dipercayai menjadikan seorang pelajar Tingkatan 4 sebagai hamba seks dengan berselindung di sebalik perubatan tradisional.
Perbuatan suspek berusia 50 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik nekad membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam, jam 9.40 malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata siasatan mendapati suspek menggunakan modul operandi merogol dan mencabul mangsa yang kononnya terkena sihir dengan alasan bagi mengubatinya secara batin.
Berdasarkan laporan, katanya, suspek datang ke kedai makanan emak saudara pengadu di Sungai Putat, Batu Berendam pada Ogos lalu dan memberitahu premis itu terkena sihir serta boleh membantu kerana dia pakar perubatan tradisional.
“Lelaki itu kemudian datang ke rumah pengadu pada 25 Ogos lalu kira-kira 12 tengah malam di Kampung Sungai Putat sebelum membawa pelajar itu, ibu dan pakciknya ke kawasan semak dekat sebuah pasar raya di Malim untuk berubat.
“Suspek kemudian menyuruh ibu dan pakcik pengadu keluar untuk membeli makanan dan meninggalkan mereka berdua di kawasan semak sebelum tiba-tiba merogol pengadu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek meminta pengadu supaya tidak menceritakan hal itu kepada sesiapa dan dituruti pengadu kerana takut.
“Selepas kejadian itu suspek kerap datang ke rumah pengadu dengan tujuan untuk mengubatinya dan pengadu mendakwa dirogol oleh lelaki itu sebanyak empat kali di tempat lain bermula Ogos lalu hingga bulan ini.
“Pengadu yang kini masih dirawat di hospital akhirnya membuat laporan polis kerana bimbang berlaku kejadian lain pada masa hadapan,” katanya.
Zainol berkata, suspek kemudian ditahan jam 4.30 pagi tadi di sebuah gelanggang muay thai di Batu Berendam dan direman tujuh hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.