Jurujual dedah perbualan dengan anak muda zaman sekarang, gaji ciput tapi nak beli kereta mahal.
Minggu lalu, tular di media sosial mengenai pendedahan seorang jurujual tentang seorang pelanggan yang bergaji RM3,000 ingin membeli kereta Mercedes A45S.
Hantaran yang dikongsikan di Threads ini menarik perhatian ramai kerana rata-rata berpendapat pelanggan tersebut mempunyai ‘selera besar’ tanpa menilai kemampuan diri apabila bercadang membeli kereta yang di luar jangkauan kewangan.
Jurujual Kongsi Sikap Golongan Muda, Mahu Beli Kereta Tak Ikut Kemampuan
Kisah serupa turut dikongsikan oleh seorang jurujual kereta terpakai, Hamidi Garage, yang menyatakan ramai pelanggannya menunjukkan sikap yang sama.
Dalam satu hantaran di akaun TikTok @syafiqpikkkk, Syafiq, jurujual tersebut, berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp dengan pelanggannya.
Syafiq meminta semua pelanggannya untuk mengisi maklumat seperti umur, pilihan kereta, pekerjaan, gaji pokok, dan gaji bersih untuk memudahkannya menyemak kelayakan pembelian. Namun, kebanyakan pelanggannya didapati mempunyai gaji bersih antara RM1,000 hingga RM1,800.
Lebih mengejutkan, majoriti mereka terdiri daripada golongan muda berusia 20-an, dan kereta pilihan mereka adalah model di luar kemampuan seperti Honda Civic (Ketam), Toyota Vios, dan Honda City.
Ada Yang Tiada Lesen & Disenarai Hitam Mahu Beli Kereta
Selain daripada pendapatan yang agak rendah, ada antara pelanggannya yang tidak mempunyai lesen memandu. Malah, terdapat juga yang berada dalam senarai hitam (blacklist) walaupun gaji bulanan mereka agak tinggi.
“Sedikit ragam pelanggan Syafiq. Kebanyakan datang dari golongan muda. Ingat, beli kereta bukan bayar sebulan dua. Menyesal tak sudah nanti,” tulisnya di kapsyen.
Ramai Persoal Sikap Golongan Muda, Buat Pembelian Tak Ukur Baju Di Badan Sendiri
Video tersebut, yang telah mendapat lebih 260,000 tontonan, menarik perhatian ramai. Kebanyakan pengguna mengecam dan mempersoalkan sikap pelanggan-pelanggan yang dilihat membeli kereta tanpa mengukur kemampuan.
Ada yang membuat perbandingan dengan diri mereka sendiri, walaupun pendapatan mereka lebih tinggi, mereka lebih memilih kereta biasa.
Namun, terdapat juga yang berpendapat bahawa tiada salahnya jika mereka mampu membayar komitmen bulanan.
Berikut adalah antara komen pengguna TikTok:
“Berani budak-budak sekarang, ingat pakai kereta ni bayar bulan-bulan je.”