Jualan tiket Khabib ‘LIVE in Malaysia 2024’ laris macam goreng pisang panas

Photo of author

By Syima Iza

Jualan tiket Khabib ‘LIVE in Malaysia 2024’ laris macam goreng pisang panas

Kehadiran bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov bagi acara ‘LIVE in Malaysia 2024’ pada 29 September ini mendapat sambutan hangat apabila 50 peratus tiket telah terjual daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Pegawai Operasi Faith Event, Munira Mustafa, berkata sambutan orang ramai amat menggalakkan selepas hampir seminggu jualan tiket dibuka, dengan beberapa kategori tempat duduk sudah habis dijual.

Jualan tiket Khabib 'LIVE in Malaysia 2024’ laris macam goreng pisang panas

Menurutnya, tujuan membawa Khabib ke Malaysia adalah untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia tentang apa yang diperlukan untuk menjadi juara bertahan, sambil mengenali beliau dengan lebih dekat.

Selain itu, dengan reputasi besar bekas bintang atlet seni bela diri campuran (MMA) tersebut, pihaknya yakin beberapa promosi yang akan dijalankan selepas ini akan menarik lebih ramai orang untuk hadir ke acara tersebut.

“Alhamdulillah, setakat ini sekitar 50 peratus tiket telah terjual bagi kategori Dagestan, Royal Box, dan The Champion. Kami akan melihat dan menjual tiket yang berbaki bagi beberapa bahagian seperti Undisputed, Send Me Location, dan The Eagle.

“Kami akan bekerjasama dengan beberapa penaja untuk memastikan jualan tiket berjalan lancar, dan Insya-Allah dengan promosi yang akan datang, kami jangka semua tiket akan habis dijual,” katanya semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Sementara itu, selain acara yang bakal diadakan, Khabib juga dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta melakukan beberapa lawatan bagi mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Tiket dijual bermula serendah RM159 (Dagestan), RM259 (Undisputed), RM399 (Send Me Location), RM499 (The Eagle), RM1,699 (The Champion), dan RM1,699 (Royal Box), dan ia terhad kepada 3,000 orang terawal untuk acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’ yang akan berlangsung hujung bulan ini di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Khabib memegang rekod cemerlang di UFC dengan 13-0 kemenangan dan 29-0 dalam keseluruhan karier pro MMA.

Baca Juga:
“Suami kutuk badan aku makin membesar, aku nekad letak jawatan sebagai isteri”
Cinta berbeza negara, lelaki Turkiye sanggup datang berkahwin dengan kekasih di pendalaman Maluku
“Sebagai pengajaran saya kongsi muka dia” – Baby Shima terkejut terima mesej lucah dari remaja bawah umur