Jual lukisan bermula RM50, kini suri rumah satu level dengan pelukis terkenal, lukisannya dijual dengan harga ribuan ringgit.
Bermula sekadar suka-suka menjual lukisan pertama yang dihasilkan dengan harga RM50, kini seorang suri rumah ini bukan sahaja karyanya terjual hingga ribuan ringgit, malah dapat menempatkan diri dalam beberapa pameran besar di galeri seni.
Ibu kepada lima cahaya mata, Sharmi Aryanti Shahrani, 48, boleh berbangga apabila minat sejak kecil dalam bidang seni lukisan itu membolehkannya menjana pendapatan hanya dari rumah.
Katanya, ia bermula sejak dua tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengambil kelas catan akrilik secara dalam talian.
“Saya suka dan minat dalam bidang lukisan sejak sekolah dan kerap melukis untuk majalah sekolah, mural, dan kemeja-T. Pada masa sama, saya suka Matematik dan Sains. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mengambil kursus perbankan dan bekerja selama beberapa tahun dalam bidang sama.
“Bagaimanapun, ketika itu saya terus melukis walaupun hanya untuk suka-suka,” katanya.
Sharmi Aryanti berkata, selepas tidak lagi berkerjaya sebagai usahawan fesyen, sejak dua tahun lalu, dia menumpukan perhatian dalam bidang seni halus.
“Saya mengikuti kelas catan akrilik dalam talian. Lukisan saya sering mendapat pujian guru dan saya yakin boleh dijual. Jadi, saya cuba jual di Facebook.
“Tidak sangka lukisan pertama saya bermotifkan landskap berjaya dijual kepada rakan dengan harga RM50. Ini memberi saya semangat untuk melukis lebih banyak. Semua lukisan yang dihasilkan semasa kelas terjual di Facebook.
“Lukisan juga dijual di Instagram dan saya mendapati lebih ramai membeli di sana,” katanya, yang suka melukis gambar pemandangan dan landskap.
Lukisan Dipamer di Galeri Seni
Dia juga mendapat tawaran mengadakan pameran lukisan pertama di galeri seni.
“Pada Februari dan Mac tahun lalu, karya saya dipamerkan di dua pameran seni di KL City Art Gallery sebaris dengan artis tempatan dan luar negara.
“Saya juga mendapat jemputan mengadakan pameran seni di galeri dan ruang awam. Karya saya mengintegrasikan idea alam fantasi dan realiti. Hasilnya juga indah dipandang.
“Ada juga lukisan yang diolah berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidup,” katanya.
Lebih membanggakan, pada awal tahun ini, namanya tercalon dalam Pameran Terbuka Galeri Shah Alam selepas menghantar lukisan pemandangan kota Makkah bertajuk “Mecca: The Seven Mountains.”
“Walaupun lukisan saya tidak menang, ia adalah lukisan pertama yang berjaya dijual pada pameran itu dengan harga RM5,900. Ini satu pencapaian amat membanggakan saya sebagai seorang suri rumah, kini bergelar pelukis sepenuh masa di rumah,” katanya.
Harapan dan Nasihat
Justeru, dia berharap lebih ramai wanita tidak takut untuk merealisasikan impian mereka dan mencapai apa yang dicita-citakan.
Namun, dalam kesibukan berkarya, dia tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
“Sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meningkatkan ilmu, mencuba sesuatu yang baru seperti belajar kemahiran baharu, dan melakukan perkara yang membawa kepada kegembiraan.
“Bidang seni boleh menjadi terapi minda dan dapat mengisi masa lapang, selain menjana pendapatan.
“Malah, ia tidak memerlukan modal besar dan boleh dilakukan secara sampingan selepas melunaskan tugas hakiki,” katanya.