Jual cecair bisa kala jengking boleh jadi jutawan, satu gelen berharga RM173 juta. Bayangkan sejenis cecair yang begitu berharga sehingga setitik kecil sahaja boleh bernilai lebih daripada sebutir berlian.
Cecair tersebut berasal daripada bisa sejenis haiwan berbahaya yang boleh membunuh, iaitu kala jengking.
Bisa kala jengking adalah cecair termahal di dunia, dengan harga yang melambung tinggi hingga berjuta-juta dolar hanya untuk satu gelen.
Racun dari spesies tertentu ini, dikenali sebagai Deathstalker, jauh lebih berharga daripada minyak atau dakwat pencetak yang mahal. Persoalannya, mengapakah ia begitu berharga?
Kala jengking, makhluk kecil yang sering kali ditakuti, membawa bisa di ekor mereka yang digunakan untuk pertahanan diri dan memburu mangsa.
Proses pengambilan bisa kala jengking pula adalah satu tugas yang teliti dan berbahaya.
Pakar perlu ‘memerah’ bisa dari kala jengking dengan berhati-hati. Proses ini melibatkan rangsangan yang membuatkan haiwan tersebut melepaskan bisa mereka, yang kemudiannya dikumpul setitik demi setitik. Untuk mengumpul satu gelen bisa kala jengking yang bernilai USD 39 juta (RM173,394,000), kira-kira 2.64 juta ekor kala jengking atau satu kala jengking yang boleh mengeluarkan bisa sebanyak 2.64 juta titik diperlukan.
Namun, nilai bisa kala jengking bukan sahaja terletak pada bahaya dan kesukaran pengambilannya.
Kala jengking Deathstalker yang terdapat di kawasan padang pasir dan belukar di Afrika Utara dan Timur Tengah menghasilkan racun yang sangat berbahaya.
Walaupun sengatan kala jengking sangat menyakitkan, ia jarang membawa maut. Umumnya, ia tidak mengancam nyawa, tetapi golongan kanak-kanak dan warga emas lebih berisiko terkesan.
Apa yang menjadikan racun Deathstalker sangat bernilai adalah kandungan sejenis peptida yang dikenali sebagai klorotoksin.
Peptida ini berpotensi digunakan dalam pelbagai penemuan perubatan, termasuk rawatan beberapa jenis kanser dan penyakit lain.
Klorotoksin telah digunakan untuk mengenal pasti saiz dan lokasi tumor kanser, dan eksperimen menunjukkan ia mampu menghapuskan malaria pada nyamuk, dengan harapan hasil yang serupa boleh dicapai pada manusia.
Proses untuk menukar bisa menjadi ubat adalah rumit dan melibatkan pengenalpastian dan pengasingan komponen aktif, memahami mekanisme tindakannya, dan kemudian mensintesisnya dalam bentuk yang sesuai untuk kegunaan perubatan.
Walaupun cabarannya besar, manfaat kesihatan yang berpotensi mendorong saintis dan syarikat farmaseutikal untuk melabur dalam penyelidikan ini.