Jojo One Nation meninggal dunia rebah di masjid, video kisah penghijrahan beliau kembali tular buat ramai tersentuh.
Kisah penghijrahan Allahyarham Jojo One Nation Emcees kembali tular di media sosial. Kisah tersebut telah menyentuh hati ramai yang terinspirasi melihat perjalanan hidupnya yang penuh dengan pengajaran dan motivasi.
Menerusi video yang dimuat naik semula di TikTok, Jojo atau nama lengkapnya Nur Hasan Balas, 50, pernah berkongsi kisah tentang bagaimana dirinya mendapat hidayah dan menemui ketenangan yang sebenar melalui solat.
Menurut arwah Jojo, beliau mengakui bahawa persepsinya terhadap kebahagiaan di dunia berubah sepenuhnya selepas beliau berhijrah ke jalan Allah SWT.
“Mungkin Allah beri hidayah pada masa tu ada kebaikan dalam diri saya. Tenang, bahagia walaupun sejak daripada itu saya tak risau tentang duit dalam poket. Ada RM5 pun saya dah gembira, kalau dulu tak ada RM5000 sebulan, saya dah risau.”
“Mencari ketenangan dan kebahagiaan adalah dengan solat sahaja.”
Arwah juga pernah menegaskan betapa pentingnya solat walaupun pada awalnya seseorang itu mungkin tidak melakukannya dengan ikhlas.
“Orang kata nanti ikhlas dulu baru boleh sembahyang. Sebenarnya ikhlas atau tidak ikhlas, kita kena solat. Lama-lama Allah akan beri keikhlasan. Walaupun jahil macam mana sekali pun, solat dulu.”
“Bila kita belajar, satu hari Allah beri keikhlasan dan Allah akan jauhkan kita dari perkara yang mungkar. Jangan takut, Allah pasti akan buka jalan. Macam mana kita berdikari untuk hidup, begitulah juga solat.”
Kisah penghijrahan Allahyarham Jojo terus menjadi inspirasi, mengingatkan kita semua bahawa ketenangan hidup tidak diukur dengan harta dunia, tetapi melalui hubungan dengan Pencipta.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan takziah selain menyifatkan arwah sebagai seorang insan yang penuh kesederhanaan dan kasih sayang.
@fasihin_ #kisahjojoonenationemces#hijrahatasiman#fyp#kasihsayangallah#fypシ#subhanallah#fypage ♬ Sedih – Instrumental – Asraf Studio