Johor negeri pertama dalam Malaysia tawar gaji premium bermula RM4,000 & RM5,000.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan bahawa Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 hingga RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Menurut laporan Harian Metro, hasrat Johor ini akan direalisasikan melalui penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan semalam. Penubuhan JTDC ini bertujuan memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi mencukupi bagi memenuhi 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal diwujudkan di negeri tersebut.
“Johor adalah negeri pertama yang menubuhkan JTDC bagi membantu anak muda di negeri ini untuk dilatih sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Langkah Johor ini bertujuan menetapkan gaji premium bagi pekerja berkelulusan diploma dengan kadar permulaan RM4,000, manakala pemegang ijazah sarjana muda dengan gaji permulaan RM5,000. Setakat ini, Johor adalah satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif gaji premium ini dan berada di hadapan.
“Kita melihat peluang pekerjaan di Johor berhadapan persaingan dari negara jiran. Contohnya, gaji minimum yang ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 mulai Februari depan, tetapi gaji minimum di Singapura ialah $1,500, bersamaan dengan RM5,290.
“Oleh itu, adalah penting bagi Johor untuk memperkenalkan gaji premium bagi pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak terlepas ke negara lain,” ujarnya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyatakan bahawa sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan oleh kerajaan Johor, berikutan penubuhan beberapa zon ekonomi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam masa terdekat.