Jika tak kahwin, Nabi SAW tak mengaku umat?, Ini penjelasannya.
Menurut seorang lelaki berbaju hitam, terdapat ulama-ulama terdahulu yang tidak sempat berkahwin, bukan kerana mereka tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW, tetapi kerana kesibukan mereka mengarang kitab dan mengajar ilmu agama Islam.
Hampir semua individu di dunia ini pasti ingin membina perkahwinan, tetapi tidak semua berjaya melakukannya. Ini mungkin kerana segelintir individu belum menemui jodoh yang sesuai atau atas sebab-sebab lain.
Namun, seringkali kita mendengar bahawa sesiapa yang tidak berkahwin dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Baginda tidak mengaku mereka sebagai umatnya. Sebenarnya, terdapat penjelasan lebih mendalam mengenai hadis ini, yang perlu difahami oleh orang ramai.
Jika Tidak Kahwin, Nabi SAW Tidak Mengaku Umat?
Baru-baru ini, pihak Masjid Bandar Seri Putra di TikTok menjelaskan isu ini menerusi sebuah sketsa bagi memudahkan pemahaman penonton. Dalam video tersebut, seorang wanita warga emas yang juga isteri dilihat sedang menterjemahkan ceramah menggunakan bahasa isyarat kepada suaminya dalam sebuah majlis ilmu. Perkara ini membuatkan dua lelaki di masjid kagum dan merasakan pasangan tersebut sangat “sweet”.
Kawan Keluar Grup Bila Disoal Tentang Kahwin
Dua lelaki itu kemudian melanjutkan perbualan mereka tentang seorang rakan yang ingin berkahwin, manakala seorang lagi rakan, Najmi, masih belum mempunyai pasangan. Lelaki berbaju hijau berkata setiap kali mereka bertanya tentang perkahwinan kepada Najmi, dia akan keluar dari grup WhatsApp. Namun, lelaki berbaju hitam meminta agar mereka mendoakan yang baik-baik kerana mungkin Najmi mempunyai alasan tersendiri.
“Yelah, tapi janganlah sampai ke tua dia nak membujang. Nanti Nabi SAW tak mengaku umat tau,” ujar lelaki berbaju hijau, menyandarkan hujahnya kepada sunnah perkahwinan Nabi SAW yang dituntut.
Dalam video itu, mereka juga menyertakan hadis yang berbunyi:
“Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan daripada kalangan umatku),” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ada Salah Faham Mengenai Hadis
Mendengar perkara itu, lelaki berbaju hitam menjelaskan bahawa terdapat salah faham tentang hadis tersebut. Menurutnya, Nabi SAW tidak suka kepada orang yang memang enggan berkahwin tetapi cenderung kepada zina dan perkara mungkar.
“Ada salah faham di sini. Maksud hadis itu adalah Nabi SAW tidak suka kepada orang yang enggan berkahwin tetapi mendekati zina dan perkara mungkar,” jelasnya. Dia juga menegaskan bahawa kita tidak sepatutnya mudah-mudah menghukum atau mengecam mereka yang masih bujang. Jodoh, rezeki, dan ajal semuanya diatur oleh Allah SWT.
Ulama yang Tidak Sempat Berkahwin
Selain itu, lelaki berbaju hitam turut menyebut bahawa terdapat ulama terdahulu yang tidak sempat berkahwin, bukan kerana tidak mengikut sunnah Nabi SAW, tetapi kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan ilmiah seperti mengarang kitab dan mengajar. Antara ulama yang tidak sempat berkahwin ialah Imam An-Nawawi.
Setelah mendengar penjelasan tersebut, barulah lelaki berbaju hijau memahami situasinya dan mengaitkan bahawa mungkin Najmi terlalu sibuk dengan perniagaannya di Putrajaya, sehingga tidak sempat mencari jodoh.
Sebagai penutup, mereka turut berkongsi satu hadis yang berbunyi:
“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya. Oleh itu, hendaklah dia bertaqwa terhadap baki yang selebihnya,” Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647).