Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah meminta keluarga yang mendakwa terpaksa membayar sehingga RM1,000 bagi solat jenazah di sebuah masjid di Pendang untuk tampil bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Ghani@Zulkilfi Zainuddin, menyatakan bahawa setakat ini pejabat agama daerah telah menerima aduan tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk bertemu dengan pihak masjid berkenaan.
“Pejabat agama telah memanggil pihak waris berkenaan dan mereka memaklumkan, Insya-Allah. Saya berharap kedua-dua pihak, masjid dan waris, dapat menyelesaikan isu ini dengan baik. Mungkin ada salah faham dalam perkara ini.
“Selepas perkara ini tular pada Selasa lepas, pejabat agama daerah menerima aduan dan memulakan siasatan awal dengan memanggil imam masjid berkenaan. Hasil siasatan awal mendapati jumlah sebenar adalah RM1,900 bukan RM3,000 seperti yang ditular.
“Pejabat agama juga menasihatkan pihak masjid memanggil semula keluarga berkenaan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nota mengenai jumlah bayaran yang perlu dikeluarkan oleh sebuah keluarga bagi majlis pengebumian anggota keluarga mereka telah tular di media sosial sejak minggu lepas.