Jenazah mualaf ditahan 24 jam kerana suami tak mampu bayar RM1900?
Belum reda kisah kematian seorang bayi lelaki yang disimpan sehingga beku, semalam muncul pula pendedahan baharu mengenai jenazah seorang wanita yang dikatakan ditahan hampir 24 jam kerana suaminya tidak cukup wang.
Menerusi perkongsian di Facebook Mr Wan Cai Official, pihaknya mendedahkan terdapat kartel jenazah yang mengambil kesempatan mengenakan caj pengurusan yang terlalu tinggi kepada lelaki tersebut, menyebabkan proses pengebumian jenazah isterinya tergantung.
Katanya, pasangan tersebut merupakan mualaf dan berstatus asnaf, serta suaminya adalah kategori orang kelainan upaya (OKU).
“Kisah ini berlaku pada 12 November lalu apabila seorang wanita disahkan meninggal dunia di unit kecemasan sebuah hospital swasta di Ampang dan bil hospital mencecah RM5,500.
“Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bahawa bayaran boleh dilakukan kemudian dan meminta waris untuk menguruskan jenazah wanita tersebut terlebih dahulu,” katanya.
Bercerita lanjut, pengendali Facebook tersebut berkata, beberapa jam kemudian, secara tiba-tiba muncul dua individu yang mendakwa mereka dihubungi oleh pihak hospital untuk menawarkan khidmat pengurusan jenazah.
“Van sudah siap dibawa. Harga pengurusan jenazah yang ditawarkan pada mulanya ialah RM500, dan suami arwah setuju. Jenazah dibawa ke masjid, dan selepas selesai mandi serta kafan sekitar jam 4 petang, harga tiba-tiba berubah dan naik menjadi anggaran RM2,000.
“Sehinggalah pukul 2 petang pada 13 Disember, jenazah tersebut ‘ditahan’ tanpa perikemanusiaan,” jelasnya.
Bagaimanapun, pengendali itu memaklumkan bahawa jenazah wanita tersebut akhirnya dibantu oleh pasukan sukarelawan Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Raudatul Sakinah Kuala Lumpur – Karak pada Jumaat lalu.