Jasad pasangan kekasih terbiar kaku diatas jambatan selama 8 hari – Kisah cinta yang tragis, gadis Islam Bosnia dan lelaki Serbia.
Suatu ketika dahulu, ketika berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Bosnia pada 1984, di atas puncak bukit di kota Sarajevo itulah si gadis bertemu dengan kekasih hatinya. Namun, mereka langsung tidak menyangka hubungan yang disemai itu terpaksa melalui jalan penuh liku.
Kata-kata cinta antara pasangan dua sejoli itu dimeterai dengan impian untuk membina mahligai impian. Matahari senja musim luruh yang menyinari puncak bukit itu menjadi saksi percintaan mereka. Kedua-duanya berjanji setia, tidak mahu berpisah walau peluru menjadi halangan. Hanya ada satu jalan sahaja jika mereka mahu kekal bersama, iaitu keluar dari segala kemelut yang melanda.
Gadis itu, Ismic dan kekasihnya, Brkic berjalan menuruni bukit dan berbalas janji untuk sehidup semati. Mereka merancang untuk pergi jauh dari kota Sarajevo, pergi membawa cinta suci mereka yang sudah lama terhalang oleh pelbagai konflik – peperangan, kemanusiaan, budaya, ras serta agama. Mereka mahu membawa diri ke Belgrade, sebuah daerah yang bebas dari kancah peperangan.
Seperti yang dijanjikan, pasangan itu bertemu semula di pinggir kota Sarajevo keesokan hari. Sebelum matahari meninggi, kedua-duanya sudah tercegat berdiri di laluan pejalan kaki yang menuju ke jambatan Vrbanja. Hari itu mereka nekad untuk meninggalkan segala kepahitan di kota Sarajevo.
Perancangan diatur serapi mungkin. Brkic yang berketurunan Serbia telah bertemu dan berunding dengan seorang rakannya di pihak tentera Muslim Bosnia untuk membantu mereka. Begitu juga di pihak Serbia, lelaki itu turut melakukan rundingan yang sama. Dia bukan mahu bermusuh, tetapi hanya ingin membawa cintanya untuk pergi lebih jauh dari bumi Bosnia.
Persetujuan telah dicapai dengan kedua-dua pihak. Sama ada tentera Muslim Bosnia atau pihak Serb, mereka berdua dibenarkan untuk melintasi jambatan Vrbanja tanpa sebarang syarat dan dijamin keselamatan.
Sungguh, ia adalah sesuatu yang sangat diharapkan dan saat yang dinantikan oleh Brkic dan Ismic. Tanpa menunggu lama, pasangan kekasih itu berlalu pergi dengan membawa harapan yang menggunung tinggi. Mereka berjalan meninggalkan kota Sarajevo untuk membina hidup baru di lokasi yang lebih baik berbanding tanah air sendiri.
Namun, harapan mereka tidak kesampaian. Ketika berada di tengah-tengah laluan jambatan Vrbanja itu, bunyi tembakan bergema. BAM! BAMM! BAMMM! Ia merupakan tembakan yang dilepaskan oleh penembak hendap yang bersembunyi di bangunan berhampiran.
Beberapa butir peluru hinggap di tubuh Ismic dan Brkic. Kedua-duanya rebah serta-merta. Darah kelihatan mengalir dan membasahi tubuh pasangan kekasih itu, dan…
Nyawa melayang di atas jambatan
Kisah yang melatari jambatan Vrbanja ini cukup popular di Bosnia. Ia memahat kisah cinta yang tragis antara seorang gadis Islam Bosnia bernama Admira Ismic dan pasangannya seorang lelaki Serbia, Bosco Brkic. Kedua-duanya berusia 25 tahun.
Cinta mereka penuh dengan konflik kerana berlainan fahaman dan agama, apatah lagi ketika itu negara Bosnia sedang berada di ambang perang yang melibatkan puak Serbia dan Muslim Bosnia.
Kerana cinta, pasangan itu melewati jambatan Vrbanja untuk menuju ke daerah Grbavica. Namun, di atas jambatan tersebut mereka telah ditembak oleh penembak hendap. Kejadian ini berlaku pada 19 Mei 1993. Brkic mati serta-merta, sementara Ismic cedera parah.
Dalam keadaan yang berlumuran darah itu, Ismic mendekati pasangannya dan memeluk erat tubuh Brkic sehingga akhirnya dia juga meninggal dunia. Mayat pasangan itu terbiar selama lapan hari di atas jambatan Vrbanja sebelum puak Serbia mengambil jasad mereka untuk menguburkannya. Namun, sehingga kini pembunuhnya masih tidak diketahui.
Fakta Tambahan :
1.Selain Vrbanja, satu lagi jambatan yang popular di kota Sarajevo ialah Latin Bridge. Pada tahun 1914, Emperor Kerajaan Austria-Hungary, Franz Ferdinand dan isterinya telah dibunuh oleh seorang nasionalis Serb di atas jambatan ini. Pembunuhan Emperor Kerajaan Austria-Hungary itu merupakan pencetus berlakunya perang dunia pertama..
2.Festina Lente pula adalah sebuah jambatan ‘bergulung’ direka oleh Adnan Alagic, Bojan Kanlic dan Amila Hrustic yang terletak di pusat bandar Sarajevo. Jambatan sepanjang 38 meter ini dibina pada tahun 2012 berhadapan Akademi Seni Halus Bosnia merentasi sungai Miljacka. Festina Lente dalam bahasa Latin bermaksud ‘segerakanlah dengan perlahan’. Reka bentuk aneh seakan bergulung ini dipilih sebagai simbolik perubahan bangunan Akademi Seni Halus Bosnia dari sebuah gereja menjadi pusat pengajian.
3.Di sini juga ada sebuah jambatan dikenali sebagai jambatan Malaysia-Bosnia. Jambatan ini terletak berhampiran dengan pusat bandar Bosmal. Ia dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pembinaan jambatan ini secara simboliknya melambangkan hubungan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Bosnia.
4.Negara Malaysia agak popular di sana. Orang Bosnia sendiri menyanjung tinggi nama Malaysia dan sangat mengalu-alukan kehadiran warga Malaysia ke sana. Pergilah ke mana-mana pun, orang Malaysia sangat dikenali di sana. Mereka tidak akan lupa nama Malaysia, kerana suatu dahulu warga Malaysialah yang paling banyak membantu mereka ketika Perang Bosnia meletus.