Jasad bayi di tahan selama 2 minggu kerana bapa gagal jelaskan bil hospital lebih RM3,000.
Perkongsian oleh Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di Facebook sejak Isnin mengenai pengurusan jenazah bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna telah tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Pengasasnya, melalui akaun Facebook Mr Wan Cai Official, memaklumkan bahawa pihaknya terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memandikan jenazah bayi lelaki yang diberi nama Adham, setelah mayatnya disimpan dalam peti sejuk mayat sebuah hospital swasta selama dua minggu. Kejadian itu berlaku kerana ibu bapa bayi tersebut gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.
Menurut hantaran itu, bayi berkenaan dilahirkan pada 24 November lalu dalam keadaan tidak sempurna, iaitu tanpa sebelah mata, hidung, dan tiada lubang dubur. Bayi itu meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan.
Wan Cai menyifatkan tindakan hospital swasta di Klang yang menyimpan jenazah bayi itu dan melarang ia disemadikan lebih awal sebagai tidak berperikemanusiaan.
Beliau mempersoalkan motif pihak hospital yang menahan ibu bayi tersebut bersama jasad anaknya sehingga bil hospital yang berjumlah lebih RM3,000 dijelaskan.
“Dalam isu ini, jelas bahawa tindakan pihak hospital menahan jenazah adik Adham daripada diuruskan adalah satu tindakan yang tidak wajar dan kejam. Seperti yang dimaklumkan, pihak hospital menahan ibunya dari keluar wad selagi bayaran tidak dijelaskan oleh ayahnya. Yang menjadi persoalan, mengapa jenazah adik Adham perlu ditahan dan disimpan di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu? Bukankah ibu bayi itu sudah ditahan sebagai jaminan kepada pihak hospital?” soal Wan Cai dalam hantaran itu.
Menurut beliau, bil hospital yang sepatutnya dibayar oleh pihak keluarga dianggarkan berjumlah RM3,600, namun ia telah dijelaskan oleh si ayah pada pukul 11 pagi Isnin, membolehkan jenazah bayi itu diuruskan oleh pasukan mereka.
Wan Cai turut memaklumkan bahawa pihaknya terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi-sendi jenazah bayi tersebut.
Susulan daripada perdebatan orang ramai, Wan Cai turut berkongsi kronologi kejadian yang diceritakan oleh bapa bayi malang tersebut. Menurutnya, isterinya dihantar oleh seorang rakan ke hospital swasta itu selepas mengadu sakit pada 24 November.
Sebelum itu, suami wanita itu bekerja pada syif malam pada 23 November dan sempat bertemu isterinya selepas dimaklumkan mengenai keadaan itu. Mereka merancang untuk memindahkan isterinya ke hospital kerajaan di Klang, tetapi tidak sempat berbuat demikian selepas dimaklumkan oleh doktor hospital swasta bahawa bayi mereka sudah hampir dilahirkan dan menghadapi komplikasi.
Bapa bayi tersebut juga memaklumkan bahawa selepas kelahiran itu, bil hospital mencapai lebih RM3,000, namun baki selepas ditolak deposit adalah RM2,480. Namun, dia kecewa kerana tidak dibenarkan membawa jenazah anaknya keluar untuk diuruskan selagi bayaran penuh tidak diselesaikan.
Dalam tempoh dua minggu tersebut, bapa Adham dikatakan berusaha mencari wang, termasuk meminjam daripada ahli keluarga dan kenalan, namun jumlah yang diperoleh tidak mencukupi, sehingga seorang dermawan membantu menjelaskan baki lebih RM1,000 pada Isnin.