Jangan tersalah pilih! Ini 5 tips cara nak kenal telur tembelang.
Pernahkah anda membeli telur di kedai dan mendapati ia tidak bertahan lama walaupun hanya seminggu dalam peti ais? Mungkin itu adalah telur busuk yang dijual ketika tarikh luputnya hampir tiba. Berikut adalah beberapa cara untuk mengenal pasti ciri telur busuk atau telur tembelang sebelum anda membelinya dan membawanya pulang.
Risiko makan telur tembelang
Mungkin ada yang tidak begitu kisah untuk makan telur walaupun telur yang dimasaknya sudah agak berbau dan berasa kurang enak.
Tahukah anda, makan telur yang sudah tidak elok sebenarnya boleh memberi mudarat kepada sistem pencernaan?
Ini kerana, telur yang sudah tidak elok mengandungi bakteria Salmonella yang banyak dan seterusnya boleh menyebabkan keracunan makanan.
Ia juga boleh menyebabkan beberapa gangguan pencernaan lain seperti cirit-birit dan muntah-muntah.
Ini cara hendak tahu telur tembelang
Untuk mengenali tanda-tanda telur busuk atau telur tamat tempoh, ia sebenarnya tidaklah begitu sukar.
Ada banyak ciri-ciri yang boleh anda perhatikan sebelum membeli telur.
Antaranya adalah:
1. Lihat tarikh pengeluaran pada telur
Apabila anda membeli telur di pasar atau pasar raya, telur biasanya akan mempunyai cetakan tarikh pengeluaran dan tarikh luput pada kulitnya.
Jika tiada, ia mungkin dicetak pada kotak atau sarang telur tersebut.
Tarikh ini boleh menjadi panduan utama untuk anda mengetahui kesegaran dan tahap kualiti telur sebelum dibeli.
Telur yang segar biasanya akan dijual dalam tempoh seminggu daripada tarikh pengeluaran.
Jika anda tidak pasti mengenai tarikh pengeluaran telur, bertanyalah kepada peniaga bilakah stok telur tersebut sampai di kedainya.
2. Kulit telur retak, berkulat
Cara kedua untuk mengetahui ciri telur tembelang adalah dengan melihat keadaan kulitnya.
Tidak kira sama ada telur ayam, itik, atau telur burung puyuh, pastikan kulitnya tidak retak, berlendir, atau berkulat.
Lendir atau retakan menandakan bahawa terdapat bakteria yang telah masuk ke dalam telur.
Jika terdapat habuk putih atau kulat pada kulit telur, ini menunjukkan kulat sedang membiak pada telur.
Jika telur mempunyai ciri-ciri ini, batalkan hasrat anda untuk membelinya kerana berkemungkinan besar ia sudah rosak.
3. Telur sudah berbau
Ini juga merupakan antara cara untuk mengetahui keadaan telur yang masih segar dengan telur yang sudah mula rosak. Anda boleh cuba menghidu bau kulitnya.
Jika ia agak tengik atau busuk, berkemungkinan besar isi di dalamnya juga sudah hampir rosak.
Cara ini juga lebih sesuai digunakan di rumah selepas anda membeli telur tersebut.
Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan hidu. Telur yang rosak akan mengeluarkan bau busuk seperti telur tembelang, berbanding telur yang masih elok.
Jika ia berbau busuk, buang telur tersebut dan cuci mangkuk anda dengan menggunakan sabun.
Ini untuk memastikan tiada bakteria dari telur yang akan berpindah ke makanan yang akan dimasak nanti.
4. Telur tenggelam dalam air
Ini merupakan antara cara yang paling popular dan sering dilakukan.
Apabila anda membeli telur, anda boleh cuba memasukkannya ke dalam bekas berisi air untuk mengujinya.
Telur yang terapung menandakan banyaknya gas dalam telur dan ia sebenarnya sudah rosak.
Telur yang masih segar akan tenggelam ke dasar bekas.
Jika telur berada di tengah-tengah bekas, ini bermakna telur tersebut mungkin masih boleh dimakan tetapi sudah tidak segar lagi dan akan mula rosak.
5. Telur tembelang, kuning telurnya cair, berbau
Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan perhatikan kuning serta putih telur tersebut.
Telur yang masih segar akan mempunyai kuning telur yang bersaiz agak kecil dan terletak di tengah-tengah putih telur. Kuning telur juga agak sukar dipecahkan jika disentuh dengan jari.
Namun, jika kuning telur sudah agak pudar dan mudah pecah, itu adalah tanda bahawa telur tersebut sudah tidak boleh dimakan lagi.
Kuning telur yang cair dan mudah bercampur dengan putih telur juga merupakan antara ciri telur yang rosak.
Kesimpulan
Sekarang anda telah tahu cara mengenali telur yang sudah busuk atau tidak elok.
Anda boleh cuba amalkan cara ini sewaktu membeli telur di kedai atau ketika memeriksa bekalan telur dalam peti ais rumah anda.
Selamat mencuba!