Jangan salah beli, ini cara kira ‘Horsepower’ aircond supaya bil elektrik tak melambung tinggi
Ramai yang mengeluh apabila bil elektrik tetap tinggi walaupun perkakas elektrik seperti penyaman udara yang digunakan mempunyai rating bintang penggunaan tenaga paling cekap.
Bagi anda yang masih mencari kaedah sesuai untuk mengurangkan kos utiliti, cubalah teknik yang dikongsikan oleh Hairul Nizam di laman Facebooknya.
Menariknya, beliau berjaya menjimatkan sehingga 50 peratus penggunaan tenaga selepas mengamalkan tip tersebut. Katanya, ia berdasarkan nasihat daripada pakar elektrikal MAH Bayu Engineering yang disiarkan di YouTube.
Berikut adalah langkah-langkah yang dilakukannya:
1. Guna Mod Penyejukan (Cool)
Tetapkan alat kawalan jauh pada mod penyejukan (cool) dan suhu pada 25 darjah Celsius atau lebih tinggi. Mereka yang menggunakan suhu 28 darjah Celsius dapat lebih berjimat kerana kompresor hanya bekerja sedikit.
2. Pastikan Saiz Ruang dan HP Bersesuaian
Saiz ruang dan kuasa kuda (HP) memainkan peranan penting dalam penggunaan penyaman udara. Jika HP terlalu kecil untuk ruang yang luas, kompresor penyaman udara perlu bekerja lebih keras untuk menyejukkan kawasan tersebut. Ini sebabnya bil elektrik anda mungkin tinggi.
3. Kira Dulu HP Aircond Sebelum Beli
Ramai membeli penyaman udara kerana terpengaruh dengan tawaran promosi dan diskaun. Pembelian tanpa pengetahuan ini boleh menyebabkan kerugian di kemudian hari. Oleh itu, elakkan kesilapan ini dan kira dahulu keperluan HP aircond yang diperlukan.
Formula kiraan untuk kesesuaian HP adalah lebar (meter) x panjang (meter) x 70.
- 1HP sesuai untuk ruang di bawah 1,000.
- 1.5HP sesuai untuk ruang lebih daripada 1,000.
- 2HP sesuai bagi keluasan melebihi 1,500.
Sebagai contoh, untuk ruang 4 meter x 4 meter: 4 meter x 4 meter x 70 = 1,120, bermakna anda perlu menggunakan 1.5HP.