“Jangan pujuk lagi” – Diana Danielle bakal fail cerai terhadap Farid Kamil.
Diana Danielle mengejutkan ramai apabila mengumumkan bahawa dia ingin memfailkan perceraian terhadap suaminya, Farid Kamil.
Aktres jelita itu mengumumkan perkembangan mengejutkan tersebut melalui hantaran di Instagram Story (IGs) malam ini.
“Saya sudah memutuskan secara rasmi untuk berpisah dengan suami. Saya juga akan memfailkan perceraian.”
“Tidak akan ada sebarang penjelasan mengenai mengapa perceraian ini berlaku. Mungkin seperti biasa, dia (suami) akan memberikan penjelasan dengan jambangan bunga, cincin, dan janji kosong.
“Semoga hidup lebih baik,” luahnya melalui entri berkenaan.
Dalam hantaran seterusnya, pelakon Imaginur itu juga meminta Farid supaya tidak memujuknya untuk mengubah fikiran.
“Oh dan jangan pujuk,” katanya.
Dalam pada itu, Diana meninggalkan kapsyen di hantaran Instagram (IG) seolah-olah sudah bertekad untuk berpisah buat kali kedua.
“Rujuk bukan untuk semua, lepaskan saya… Terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, selepas melalui krisis rumah tangga yang berpanjangan, Farid dan Diana sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad yang berusia 11 tahun dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.