Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengingatkan para pencarum agar tidak mendedahkan atau berkongsi tangkapan skrin baki akaun simpanan mereka di platform media sosial.
KWSP, melalui hantaran di Instagramnya baru-baru ini, menyatakan bahawa tindakan tersebut hanya akan membuka peluang kepada ancaman daripada penipu serta mendedahkan pencarum kepada risiko yang tidak diingini.
“Berhati-hatilah. Jangan kongsikan baki akaun KWSP anda kepada orang ramai, penipu sedang mengintai. Jangan menjadi mangsa penipuan,” pesan KWSP.
Semalam, Kosmo! melaporkan bahawa beberapa pencarum didapati berkongsi butiran simpanan mereka berikutan pengumuman penstrukturan semula akaun yang baru-baru ini diumumkan.
Tinjauan di pelbagai platform media sosial mendapati bahawa ramai pengguna tidak ragu-ragu untuk berkongsi butiran simpanan mereka kepada orang awam, terutamanya pencarum yang mempunyai jumlah simpanan yang besar.
Di aplikasi X, seorang pengguna menarik perhatian netizen apabila berkongsi jumlah simpanan KWSP mereka yang melebihi RM500,000.