Jangan cuba ambil harta dalam gua ini jika tak mahu ditimpa nasib malang!

Photo of author

By Syima Iza

Pernah dengar Pulau Aman? Penduduk sebelah utara mungkin ramai yang tahu. Pulau Aman merupakan salah satu dari gugusan pulau yang terletak dalam daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pulau seluas 116.5 hektar itu terletak kira-kira 14 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai, hanya lapan kilometer dari jambatan kedua Pulau Pinang.

Pulau ini dihuni oleh orang Melayu, lebih kurang 50 keluarga, dan dikenali sebagai kampung nelayan Melayu yang masih kekal dengan tradisi dan keasliannya. Mengikut cerita lisan turun temurun, pulau ini sudah dihuni sejak abad ke-17, sebelum Pulau Pinang ditubuhkan lagi.

Jangan cuba ambil harta dalam gua ini jika tak mahu ditimpa nasib malang!

Dikatakan pulau ini dibuka oleh seorang kerabat diraja Kedah bernama Tengku Sulong yang membawa diri ke pulau ini setelah merajuk kerana tidak ditabalkan sebagai Sultan ketika itu.

Namun, ada satu kisah tersembunyi di pulau ini yang ramai tidak pernah mendengarinya. Lebih 200 tahun lalu, terdapat sebuah gua di pulau ini yang dikatakan menjadi lokasi kumpulan lanun menyembunyikan harta rampasan.

Dikatakan pada zaman dahulu, pulau ini pernah menjadi kawasan perkampungan lanun. Lanun-lanun ini pula dikatakan sering bergaduh sesama sendiri kerana berebut jawatan.

Pergaduhan yang terdiri daripada beberapa kumpulan itu selalu berakhir dengan kematian. Bagi mereka, kumpulan mana yang lebih kuat akan menguasai pulau itu.

Kedudukan pulau ini yang strategik menjadikan ia bernilai kepada aktiviti lanun. Ia terletak di tengah-tengah laluan kapal dagang waktu itu. Kumpulan lanun yang menguasai pulau itu berpeluang merompak kapal-kapal mewah dengan harta dan barangan perdagangan.

Jangan cuba ambil harta dalam gua ini jika tak mahu ditimpa nasib malang!

Lantaran itu, banyak kapal dagang dari Timur Tengah, India, dan China kerap menjadi mangsa mereka. Banyak hasil dagangan dan harta-harta yang terdapat dalam kapal dagang ini dirampas manakala anak kapal dibunuh.

Dikatakan hanya selepas kedatangan seorang putera raja bernama Tengku Sulung dari negeri Kedah, keadaan di pulau ini mula berubah. Pulau yang sebelum ini dikuasai lanun akhirnya kembali aman dan damai.

Diceritakan bahawa lanun-lanun ini berpindah kerana tidak berani melawan kehandalan Tengku Sulung. Kononnya berlaku satu peristiwa aneh di situ. Sewaktu lanun-lanun itu datang lengkap bersenjata mahu menyerang Tengku Sulung, mereka terpegun dengan keistimewaan baginda.

Seekor ayam tiba-tiba mati menggelepar selepas terkena songel yang dikunyahnya. Sejak peristiwa itu, lanun-lanun ini menghilangkan diri dengan meninggalkan banyak harta dalam sebuah gua di pulau itu.

Penulis kami dahulu semasa datang ke pulau ini pernah menemubual salah seorang penduduk tempatan warga emas yang dikenali sebagai Ismail. Menurut pak cik Ismail, walaupun lanun itu tidak lagi mendiami pulau ini, kesan penempatan mereka masih lagi boleh dilihat, iaitu sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Lanun.

Pak cik Ismail menceritakan, di dalam gua itu tersimpan satu rahsia yang sudah berabad lamanya. Dikatakan harta-harta lanun dalam gua itu masih lagi terjaga dan tiada siapa yang berani membongkarnya.

Menurut pak cik Ismail, sejak dia kecil, orang-orang tua selalu berpesan agar sentiasa menjauhi kawasan gua itu kerana bimbang nanti akan terkena gangguan ‘orang halus’. Dikatakan sesiapa yang melanggar pantang larang masuk ke gua itu, mereka akan mendapat musibah dan bernasib buruk.

Ketika itu, penulis kami turut berborak dengan seorang lagi penduduk tempatan bernama Saibi yang kerjanya turut membawa pelancong yang datang ke pulau ini.

Menurut Saibi, dia pernah berdepan peristiwa aneh ketika membawa seorang lelaki asing yang cuba masuk ke dalam Gua Lanun itu. Apa yang pelik, lelaki itu tidak berjaya masuk ke dalam gua itu kerana tiba-tiba saja muncul angin yang kuat seakan menolaknya keluar.

Lelaki itu hanya berjaya melangkah dua kaki masuk ke bahagian pintu gua itu, sebelum terpempam keluar seakan ditolak sesuatu.

Menyedari usahanya gagal, lelaki asing itu kembali semula ke bot. Tetapi tiba-tiba dia meraung seperti diserang sesuatu. Muka lelaki itu kemerah-merahan menahan nafas seperti dicekik seseorang.

Saibi yang berada tidak jauh dari bot lelaki asing itu cuba memberikan bantuan. Namun ketika dia hendak masuk ke dalam bot lelaki itu, dia merasakan seperti ada satu kuasa ghaib sedang mencekik lelaki itu, menyebabkan dia sukar untuk membantu lelaki asing itu.

Saibi cuba melawan dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Beberapa minit kemudian, kuasa aneh itu hilang dan lelaki asing itu tercungap-cungap, seakan baru terlepas dari jerutan. Mujurlah lelaki itu selamat, tidak ada kejadian buruk berlaku.

Selepas kejadian itu, Saibi sendiri jarang melintasi kawasan gua itu lagi. Dia bimbang kalau-kalau kuasa ghaib itu tidak berpuas hati dengannya. Malah, Saibi berkata, dia cuba melenyapkan kisah Gua Lanun itu dengan mengatakan gua itu tidak wujud jika ada orang luar yang bertanya.

Sebabnya, Saibi bimbang kalau-kalau ada orang lain akan diserang lagi seperti lelaki asing itu.

Ketika itu, Saibi turut membawa penulis kami melihat gua itu, tetapi hanya memerhati dari jauh. Sambil meninjau, Saibi berkata bahawa mulut gua itu sudah tidak boleh dimasuki lagi kerana terdapat banyak runtuhan batu. Malah usaha untuk memunggah keluar batu itu memang sukar kerana air pasang surut di kawasan itu.

Jangan cuba ambil harta dalam gua ini jika tak mahu ditimpa nasib malang!

Itulah antara sebahagian kisah Gua Lanun yang dikatakan menyembunyikan harta-harta lanun di Pulau Aman. Benar atau tidak, kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Cubaan untuk masuk ke gua itu pun sudah berlaku perkara aneh seperti diceritakan Saibi, bahkan penduduk di pulau ini juga sejak turun temurun sudah diingatkan agar tidak mendekati pulau itu seperti yang dikatakan oleh pak cik Ismail.

Selain kisah Gua Lanun, Pulau Aman juga dikenali dengan kisah Telaga Emas dan sebatang pokok sukun yang disahkan oleh MARDI sebagai ‘pokok sukun tertua’ di Malaysia, selain bekas-bekas peninggalan gedung senjata pada zaman British dahulu.

Sumber

Baca Juga:
Fattah nafi dakwaan rumah tangga retak menanti belah
Objek misteri berwarna hijau berlegar-legar di ruang udara Tehran
Pemilik kebun dakwa jajan racun tikus digantung tinggi, tak mungkin mangsa ambil