Jangan buang kotak telur terpakai, boleh digunakan untuk halau nyamuk.
Setelah membeli sepapan telur, jangan terus buang kotaknya kerana anda boleh menggunakan kotak telur terpakai untuk pelbagai projek DIY yang mudah dan berguna di rumah.
Walaupun kelihatan seperti kotak biasa, sebenarnya kotak telur mempunyai banyak kegunaan di rumah selepas dibersihkan.
Kali ini, kami kongsikan beberapa idea DIY menggunakan kotak telur terpakai yang sangat menarik untuk anda cuba. Jom kita lihat caranya!
5 CARA DIY DARI KOTAK TELUR TERPAKAI
1. Boleh dijadikan sebagai lapik tong sampah.
Kotak telur diperbuat daripada kertas yang mampu menyerap air dan menghilangkan bau busuk dalam tong sampah. Selain itu, ia juga membantu mencegah air sampah daripada meleleh apabila anda mengeluarkan plastik sampah untuk dibuang nanti.
Cara penggunaannya sangat mudah; anda hanya perlu letakkan kotak telur di dalam tong sampah sebagai pelapik dan pastikan untuk memotongnya mengikut saiz tong sampah di rumah.
2. Sebagai alas untuk periuk atau kuali panas di dapur.
Cara ini sangat berguna buat mereka yang suka memasak. Tiada alas besi pun tak mengapa, anda boleh gunakan kotak telur sebagai alas untuk periuk atau kuali yang panas di dapur.
3. Jika bakar, boleh guna untuk halau nyamuk.
Apabila berada di luar rumah pada waktu malam, pasti akan rasa rimas dengan nyamuk yang berterbangan. Lebih-lebih lagi jika tinggal di kawasan kampung, ia memang agak sukar untuk dielakkan.
Jika ada kotak telur terpakai di rumah, anda hanya perlu bakar sedikit pada bahagian hujungnya. Hasilnya, nyamuk dan serangga akan dapat dihalau, dan mereka pasti tidak akan berani datang lagi.
4. Digunakan untuk menyusun barang dengan lebih teratur.
Paling pantang tengok barang berselerak dalam laci atau rak di rumah, mesti jiwa tak tenteram. Dengan menggunakan kotak telur, anda akan dapat susun barang dapur dengan lebih teratur.
5. Sebagai tempat untuk tanam pokok.
Bagi anda yang suka berkebun, kotak telur terpakai boleh digunakan untuk menyemai biji benih. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk menanam pokok supaya berbuah lebat (biasanya orang menggunakannya untuk menanam cili atau bawang).
Cara DIY menggunakan kotak telur ini bukan sahaja mudah dan kreatif, malah ia juga membantu anda mengamalkan kitar semula dan lebih berjimat di rumah.
Semoga bermanfaat!