Kementerian Kesihatan melancarkan siasatan berhubung dakwaan seorang doktor kanan melakukan gangguan seksual dan menakut-nakutkan kakitangan juniornya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.
Ini berlaku selepas Jabatan Kesihatan Perak menerima surat layang yang memperincikan dakwaan terhadap doktor lelaki itu, dengan penghantarnya juga menggesa pihak berkuasa memindahkan doktor berkenaan.
Ia merupakan kali kedua dakwaan sedemikian timbul terhadap doktor kanan kerajaan minggu ini, selepas kes serupa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, Negeri Sembilan turut mendorong KKM melancarkan siasatan berasingan.
Mengenai kes di HRPB, Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata pihaknya menerima surat layang yang dihantar ke jabatan itu pada 28 Feb lepas.
“JKN Perak seterusnya telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas pada 29 Februari 2024.
“Keahlian Jawatankuasa ini juga terdiri dari pegawai-pegawai yang turut dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), KKM. Siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan bukti-bukti.
“KKM memandang pertuduhan ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya.
Difahamkan, salinan surat itu yang mendakwa ia ditulis oleh doktor pelatih di HRPB turut ditinggalkan di tempat letak kereta hospital untuk dibaca orang awam.
Gambar surat yang dikatakan ditemui di salah satu tempat letak kereta itu dikongsi oleh seorang netizen di Twitter malam tadi, dan sejak itu tular di media sosial.
Antara lain, ia mendakwa bahawa doktor kanan itu telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk bersendirian dengan doktor pelatih wanita, dan menggunakan masa itu untuk menyentuh bahagian badan mereka atau bercakap lucah.
Surat itu juga menyebut nama beberapa doktor lelaki lain yang juga didakwa mengganggu doktor wanita di hospital, dan memberi amaran kepada pengurusan HRPB supaya tidak cuba mengabaikan aduan berkenaan.
Pada Isnin, hospital HTJ di Seremban juga telah mengeluarkan kenyataan sama mengumumkan siasatan terhadap surat layang yang mendakwa salah laku beberapa doktor kanan.
Surat itu yang dikatakan tular sejak 3 Mac lalu, mendakwa seorang doktor pakar lelaki bertindak tidak profesional dan menggunakan kata-kata kesat apabila menegur kakitangannya termasuk doktor dan jururawat muda.
Seorang lagi doktor pakar lelaki didakwa mengganggu kakitangan wanita termasuk mengeluarkan kata-kata yang kedengaran kasar ketika menjalankan pembedahan.
Surat itu juga mendakwa pakar dari jabatan tertentu di HTJ menerima rasuah daripada syarikat implan.
Pengarah HTJ Dr Zaleha Md Noor berkata mereka dimaklumkan mengenai dakwaan yang tular menerusi platform media sosial Telegram dan X.