Isu cukai Yayasan Albukhary: Muhyiddin tidak akan buat permohonan maaf kepada Guan Eng

Photo of author

By Syima Iza

Isu cukai Yayasan Albukhary: Muhyiddin tidak akan buat permohonan maaf kepada Guan Eng. Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membuat permohonan maaf terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dikaitkan dengan isu cukai Yayasan Albukhary ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Sebaliknya, Muhyiddin mencabar Guan Eng untuk menjelaskan perkara berhubung cukai itu kerana maklumat yang diperoleh beliau adalah sahih.

“Apa yang beliau boleh buat daripada mencabar saya adalah jelaskan perkara itu. Sebab apa yang saya dapat ketika permohonan itu dibuat (pengecualian cukai) kepada saya melalui Kementerian Kewangan adalah ia diluluskan (kepada Yayasan Albukhary) ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak.

Isu cukai Yayasan Albukhary: Muhyiddin tidak akan buat permohonan maaf kepada Guan Eng

“Kemudian ketika Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah di bawah kementerian itu. Guan Eng perlu jelaskan (mengapa pengecualian cukai ditarik). Saya cabar beliau untuk menjelaskan apa sebenarnya.

“Sebab itu mereka datang mohon pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk minta supaya pengecualian itu diberikan semula,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan BN kepada Yayasan Albukhary dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Dalam satu kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Muhyiddin mendakwa, kerajaan PH membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin berkata, beliau tahu punca Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

“Yayasan Albukhary adalah yayasan terbesar yang diterajui Melayu dan banyak menyumbang kepada orang ramai dan mereka mendapat manfaat daripada yayasan itu.

“Tiba-tiba ia dihentikan (pengecualian cukai), seolah-olah tidak mengiktiraf apa yang sudah dilakukan oleh Yayasan Albukhary kepada masyarakat. Oleh itu kenapa saya perlu tarik balik (kenyataan dikeluarkan), itu adalah fakta dan benar,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara itu, sebaliknya keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat Syed Mokhtar itu diputuskan Kementerian Kewangan dan LHDN.

Baca Lagi:
Panik! Pengunjung pusat beli-belah jatuh bertindih, cedera parah apabila eskalator tiba-tiba mengundur
Pelajar perempuan buat aksi ‘backflip’ ketika terima ijazah curi tumpuan
Bermula sebagai jururawat, YB Rara tak sangka kini bergelar ahli politik