Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kenyataan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengaitkan reaksi agresifnya terhadap isu stoking kalimah Allah dengan serangan bom petrol ke atas premis KK Mart.
Menafikan kenyataannya termasuk gesaan memboikot pasar raya itu sebagai punca serangan bom petrol, Dr Muhamad Akmal berkata menteri berkenaan tidak ada bukti mengenai perkara itu.
“Nik Nazmi mengatakan tindakan agresif saya mengundang sikap ekstremis sesetengah individu sehingga berlakunya insiden bom petrol dibaling ke premis berkenaan, saya nak tanya apa tindakan agresif saya yang dimaksudkan oleh kamu? “Adakah boikot itu menjadi satu kesalahan dan (dianggap) tindakan agresif bagi kamu?
“Dan apabila kamu mengaitkan tindakan saya terhadap insiden bom petrol ini, adakah kamu ada bukti? Saya nak tanya juga pada YB Menteri, siasatan kes bom petrol ni dah selesai ke? Suspek sudah ditangkap ke? Kalau belum, macam mana kamu boleh tuduh perbuatan ini dari mana-mana individu?
“Kamu ada bukti untuk menyatakan bahawa ia datang dari individu tertentu, atau pun kamu memang suka menyalahkan orang lain tanpa ada bukti? Kalau ada (bukti) sila nyatakan, jangan sembang saja,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial Facebook hari ini.
Nik Nazmi dalam kenyataan hari ini, menegur tindakan Dr Muhamad Akmal yang didakwanya terus galak memainkan isu berkait sentimen agama sebagai modal politik.
“YB ada bukti kaitkan saya dgn insiden baling bom petrol di KK Mart?” Dr. Akmal sound Nik Nazmi. pic.twitter.com/K7Hd6YB02I
— Solisidtor (@Solisidtor) April 4, 2024
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PKR, dilaporkan berkata cara sedemikian tidak sepatutnya digunakan untuk memperkenalkan dirinya di medan politik.
“Nasihat saya kepada Akmal selaku mantan ketua pemuda parti, keinginan memperkenalkan diri ke medan politik dengan isu seperti ini tidak akan bertahan lama. Carilah isu yang benar-benar kritikal dan menguntungkan rakyat.
“Jangan gunakan sentimen agama untuk bakar nafsu amarah, timbulkan rasa tak senang rakyat ketika beberapa insiden keganasan sudah berlaku,” kata Nik Nazmi menerusi satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, menegaskan akan kekal dengan gesaan memboikot kedai serbaneka, KK Mart yang dikaitkan dengan isu stoking kalimah Allah kerana tindakan itu adalah hak individu.