Isteri penat lelah berniaga, suami minta duit hasil niaga untuk bagi ‘duit poket’ mak dan nenek.
Seorang isteri meluahkan rasa tertekan apabila wang hasil penat lelahnya berniaga perlu diserahkan kepada suami dengan alasan lelaki itu mahu memberi ‘duit poket’ kepada ibu dan neneknya.
Katanya lagi, setiap bulan lelaki itu hanya memberinya RM100 sebagai wang nafkah dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan diri serta buat keluarganya.
“Kami ada lima orang anak, gaji RM1,500 ditambah pula RM200 komisen. Saya berniaga di pasar ikan, ayam segar. Keuntungan itu saya kena serah pada suami, sebab suami nak bagi mak dan nenek dia.
“Kalau kira gaji lebih dari cukup, tapi rasa sekarang tak cukup sebab hal tersebut. Serius saya tak reda, saya penat sangat, hanya dia (suami) bagi saya RM100 nafkah, yang lain dia belanja semua,” luah wanita itu menerusi kumpulan Facebook, Kisah Rumah Tangga Fans.
Tambahnya lagi, sebagai seorang wanita pastinya mempunyai keinginan untuk bergaya dan memiliki emas sebagai perhiasan diri, namun wang simpanan sendiri juga tidak cukup disebabkan perlu menyerahkan kepada suami.
“Saya juga teringin nak beli sesuatu, saya tak ada emas, tak pernah merasa emas sebab tak mampu, nak minta duit pun rasa susah sebab suami bagi duit pada mak, nenek dia,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut turut meminta pendapat serta penjelasan daripada pakar mengenai situasi yang dihadapinya.
“Wajib ke suami bagi duit pada mak dia, ke saya yang salah? Ke saya kena ikhlaskan?,” soalnya.
Sementara itu, di ruangan komen ramai yang berkongsi pendapat berhubung situasi dialami wanita tersebut.
“Memang anak lelaki sampai akhirnya dia perlu berbakti pada si ibu dan keluarga, namun soal menghulurkan wang belanja kepada mereka perlu menggunakan pendapatan sendiri bukan meminta wang kerja si isteri,” kongsi Ayubi.
“Sebab itu, kalau tak mampu nak sediakan wang nafkah untuk anak dan isteri, sebab perlu tanggung keluarga sendiri, jangan lah berkahwin wahai golongan lelaki. Usaha cukupkan keperluan wang baru berumah tangga. Kesian isteri tak reda wangnya digunakan untuk keperluan lain,” komen Alimuadin.