Sebuah keluarga di Vietnam panik selepas wang tunai sebanyak 1.17 bilion dong (RM225,197) dibuang ke pusat pengumpulan sampah secara tidak sengaja, lapor laman berita VNExpress semalam.
Pada Rabu lalu, kira-kira pukul 8.25 malam (waktu tempatan), seorang lelaki membawa beg sampah ke tempat pengumpulan sampah berhampiran rumahnya di Jalan Ly Thuong Kiet.
Kira-kira 15 minit kemudian, keluarga lelaki tersebut menyedari bahawa wang yang baru dikeluarkan dari bank sebelum itu diletakkan di dalam beg sampah.
Selepas gagal menemui beg tersebut, keluarga itu membuat laporan polis.
“Isteri saya menangis kerana jumlah wang yang hilang terlalu banyak,” kata lelaki berkenaan.
Polis kemudian menganalisis rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) beberapa jirannya sebelum mendapati, beg merah yang disyaki mengandungi wang itu bercampur dengan sampah.
Pihak berkuasa kemudian menghubungi sebuah syarikat pelupusan sampah bagi membantu mencari beg berkenaan.
Selepas dua jam, beg tersebut akhirnya ditemui semula sebelum ia nyaris dihantar ke sebuah pusat pelupusan sampah.