Isteri kena cerai talak 3 sebab tidur air liur basi meleleh.
Sebagai pasangan suami isteri, menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing adalah tugas penting dalam mempertahankan perkahwinan. Namun, ada kalanya perkahwinan ini akan berakhir dengan perceraian, sehingga ada yang terpaksa bercerai talak 3!
Dalam Islam, perceraian talak 3 adalah talak yang paling digeruni kerana pasangan tersebut tidak boleh kembali rujuk dengan mudah seperti yang berlaku pada talak 1 atau 2.

Walaupun antara alasan yang sering didengar adalah seperti tiada lagi persefahaman atau pasangan curang, ternyata masih ada sebab-sebab lain yang tidak masuk akal yang menjadi punca utama runtuhnya rumah tangga. Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli, tentang perceraian yang berlaku dengan alasan yang pelik.
“Terkejut betul bila hakim tanya nak cerai sebab apa? Tak sefahaman. Ye la, tak sefahaman atas isu apa? Kita ingatkan isu curang ke, isu nafkah ke, bergaduh sebab lemah batin ke. Rupanya bergaduh sebab tak berkenan cara bini tidur. Sebab air liur meleleh.
“Tak pastilah yang ni memang isu seriuslah kot bagi sesetengah orang. Tapi, apalah sangat kerana isu tu sampai nak bercerai berai,” katanya.
Terkejut dibuatnya apabila salah satu punca perceraian talak 3 berlaku kerana si isteri sering tidur dalam keadaan air liur basi meleleh. Bukan itu sahaja, ada juga pasangan yang bergaduh sehingga berlaku perceraian disebabkan kes haid si isteri sahaja.
“Ada yang lafaz cerai bergaduh di rumah sebab isu bini tertumpah darah period atas tilam. Itu pun nak marah ka? Cabut cadar basuh je la kan.
“Heran sungguh. Mudah betul nak baran, bergaduh hanya kerana isu yang boleh selesai dengan satu tindakan mudah, mencuci,” katanya lagi.
HAL REMEH KENA BERTOLAK ANSUR
Dalam pada itu, Khairul turut memberi pesanan mengingatkan suami isteri untuk sentiasa bertolak ansur dalam rumah tangga dan tidak mudah berbalah hanya kerana hal yang remeh.
“Istighfarlah. Air liur meleleh itu mungkin tandanya penat. Fikirlah tentang kepenatan pasangan untuk bantu uruskan rumah tangga.
“Darah period bocor atas tilam pun bukan disengajakan. Benda yang orang lelaki tak tahu apa perempuan rasa pun,” katanya.
*Sebagai info, perceraian adalah diharuskan sekiranya memang perlu dilakukan dan tiada solusi lain, namun ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT. Bukan itu sahaja, talak adalah sesuatu yang halal, namun paling dibenci di sisi Allah SWT juga. Jadi, beringatlah kita untuk tidak melakukan perkara yang dibenci oleh Allah SWT.