Isteri Daim petik Shakespeare ‘sound’ Anwar.
Isteri bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kuasa itu singkat dan perhitungan menunggu mereka yang menyalahgunakannya.
Na’imah Abdul Khalid, yang diheret ke mahkamah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, berkata dia akan membuktikan dirinya tidak melakukan apa-apa jenayah.
“Saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.
“Sepertimana kata-kata (William) Shakespeare yang sering kamu petik:
“Man, proud man. Drest in a little brief authority. (Manusia sombong. Menyarung kuasa yang singkat ini.)
“Yang selebihnya sudah diketahui,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Na’imah Abdul Khalid hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember lalu.
Bagaimanapun, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Na’imah seterusnya berkata jenayah yang sebenar adalah “perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suaminya” serta melunaskan dendam politik terhadap keluarganya.
“Jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam melunaskan dendam politik.
“Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Dia juga mendakwa Anwar cuba menyasarkan musuh politiknya dengan tuduhan yang direka-reka.
“Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum,” katanya lagi.
Na’imah didakwa memberi pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu, yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham.
Harta lain ialah kediaman di Bukit Tunku serta enam bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di Kuala Lumpur; Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di ibu negara.
Berikut kenyataan penuhnya:
Hari ini, saya telah didakwa atas kesalahan jenayah.
Tetapi tiada jenayah dilakukan oleh saya, dan ini akan saya buktikan di mahkamah.
Jenayah yang sebenar adalah perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suami saya serta melunaskan dendam politik terhadap beliau dan keluarga kami.
Jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam melunaskan dendam politik.
Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.
Jenayah yang sebenar adalah menyasarkan musuh politik anda dengan tuduhan yang direka-reka, sementara dakwaan rasuah melibatkan kroni politik digugurkan seterusnya menimbulkan kemarahan seluruh negara.
Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum.
Sejak malam tadi ketika berita tersebar bahawa saya akan didakwa, saya terharu dengan sokongan orang ramai, sebahagian besarnya tidak kami kenali, atas keprihatinan dan solidariti mereka. Saya ucapkan terima kasih, dan saya percaya akhirnya, saya akan dibuktikan tidak bersalah, insyaAllah.
Akhirnya, saya katakan kepada anda, Anwar Ibrahim, kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.
Sepertimana kata-kata Shakespeare yang sering kamu petik:
“Man, proud man.
Drest in a little brief authority.”
Yang selebihnya sudah diketahui.
Na’imah Khalid