Isteri curang dengan sami halau suami keluar rumah.
Seorang lelaki di wilayah Buriram, rantau Isaan, bersedia memaafkan isterinya walaupun mendapat tahu bahawa wanita itu menjalin hubungan sulit dengan seorang sami, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Namun, nasib tidak menyebelahi Tone, 31, apabila isterinya menghalau dia keluar dari rumah dan menuduhnya merosakkan reputasi sami tersebut.
Menurut Tone, dia membuat laporan polis terhadap sami bernama Ek setelah lelaki itu menghantar video lucah yang memaparkan perbuatan tidak bermoral bersama isterinya.
Pegawai dari Balai Polis Lahan Sai bersama seorang ketua masyarakat setempat kemudian menyerbu tokong yang menempatkan Ek. Ek mengaku menjalin hubungan dengan isteri Tone dan disahkan positif dadah. Dia kemudian ditahan di balai polis menanti perbicaraan.
Menurut Tone, penahanan Ek tidak memperbaiki hubungannya dengan isterinya. Sebaliknya, wanita itu menghalau dia keluar dari rumah dan menuduh Tone merosakkan reputasi Ek.
Tambah Tone, isterinya kemudian pergi ke balai polis untuk mengikat jamin Ek.
Dalam temu bual dengan stesen penyiaran Channel 7, Tone mengaku masih menyayangi isterinya dan bersedia memaafkannya serta melupakan semua yang berlaku. Namun, isterinya tidak menghiraukan Tone dan memilih untuk bersama kekasih gelapnya.