Isteri bingung suami hilang, rupa-rupanya dah pindah ke PPS. Tindakan seorang penduduk di Kampung Lapis Warijo, Ungku Mohd Ali Ungku Ahmad, 48, yang berpindah terlebih dulu ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi, membuatkan dia dilaporkan ‘hilang’ oleh isterinya.
Ini kerana, tindakan Ungku Mohd Ali berpindah itu tidak disedari isterinya, malah telefon bimbitnya turut ditinggalkan di rumah.
Beliau berkata, selepas mendapat arahan berpindah ke PPS, dia mengajak isteri dan anaknya berpindah, namun mereka enggan berbuat demikian.
“Selepas mendapat arahan berpindah, saya mengajak isteri dan anak berpindah, tetapi isteri enggan, jadi saya berpindah seorang diri ke PPS terlebih dulu.
“Mungkin ketika saya keluar rumah, keluarga tidak menyedarinya. Apabila saya kembali ke rumah pagi tadi, saya dimaklumkan berita kehilangan saya oleh anak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bapa empat anak itu mengakui segelintir penduduk termasuk ahli keluarganya enggan berpindah walaupun sudah diarah untuk berbuat demikian.
“Saya berpindah sehelai sepinggang sebab memikirkan keselamatan, jadi saya harap orang lain berfikiran sama dengan mengutamakan keselamatan dulu,” katanya.
Sementara itu, penduduk Parit Warijo, Muhammad Taib Daud, 40 berkata dia mendapatkan bantuan rakannya yang menaiki bot untuk keluar dari kampung sebelum memohon pasukan penyelamat membantu keluarganya.
Katanya, paras air semalam hampir semeter, tetapi dia berteduh di tingkat atas rumah yang belum dinaiki air.
“Bagaimanapun saya lega apabila dapat keluar rumah, kami sekeluarga akan menumpang di rumah saudara di Parit Puasa kerana mempunyai bayi berusia tujuh bulan.
“Difahamkam PPS juga sudah penuh dan mungkin kurang selesa di situ,” katanya.
Sebelum ini, lebih 100 individu dilaporkan masih terperangkap di kediaman masing-masing di Kampung Parit Warijo, Seri Medan kerana enggan berpindah sejak banjir melanda kawasan itu dua hari lalu.