Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, Toh Puan Raghad Kurdi Taib membuat laporan polis selepas mendakwa dihalang memasuki kediamannya di Kuching, Sarawak, minggu lalu.
Beliau menerusi hantaran di Instagram memaklumkan kejadian tersebut berlaku ketika beliau kembali ke daerah itu untuk melawat pusara Allahyarham serta menyampaikan sedekah jariah bagi pihak suaminya.
Namun katanya, sebaik tiba di kediaman itu, beliau dihalang pengawal bertugas dan dimaklumkan bahawa Raghad Kurdi tidak dibenarkan masuk.
“Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati membenarkan saya masuk. Allah akan sentiasa melindungi dan membela mereka yang dizalimi,” menurutnya.
Dalam hantaran itu, Raghad turut berkongsi beberapa keping foto yang memaparkan keberadaan beliau di pintu pagar kediaman bersama pengawal keselamatan dan ketika melawat pusara Abdul Taib.
Susulan kejadian itu, Raghad berkata, beliau membuat laporan polis termasuk permohonan yang perlu di mahkamah.
View this post on Instagram
“Saya lakukan semua ini dengan berat hati, saya tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Beliau (Abdul Taib) suami saya, tetapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan terhadap saya dan menuntut keadilan. S
aya tahu saya tidak pernah berkongsi cerita sebelum ini, tetapi sudah tiba masanya untuk berbuat demikian,” katanya.
Abdul Taib meninggal dunia pada 21 Februari lalu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.