Isaac Newton guna ilmu matematik ramal kiamat akan berlaku pada tahun 2060. Sebuah ramalan mengenai akhir zaman datang daripada seorang ahli matematik dan fizik abad ke-16 Isaac Newton. Dikenali sebagai seorang saintis yang mendedikasikan kehidupannya untuk disiplin ilmu fizik dan matematik. Selain itu, Newton juga dikatakan berminat dengan alam ghaib dan ramalan berasaskan Bible tentang kiamat.
Memetik IFL Science, terdapat beberapa spekulasi peribadi mengenai Newton berkenaan kiamat. Ramalan ini dibuatnya berdasarkan pemahamannya sebagai seorang Protestan Bible serta pengiraan menggunakan ilmu matematik.
Dalam salah satu surat yang dijumpai dan ditulis sendiri oleh Newton, difahamkan bahawa dia meramalkan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2060.
Melalui formula Newton dan mengikut pengiraan beliau, kiamat akan berlaku 1,260 tahun selepas Empayar Rom terbentuk, yang diasaskan pada 800.
Newton juga percaya akhir zaman itu akan datang dengan perang di antara “Gog dan Magog” atau apa yang dikenali oleh umat Islam dunia sebagai “Yajuj dan Majuj”. Bagaimanapun, melalui suratnya, dia tidak menyatakan bahawa tahun 2060 itu sebagai kiamat, tetapi lebih kepada penghujung era.
“Newton yakin bahawa Kristus akan kembali ke bumi sekitar tarikh ini dan menubuhkan Kerajaan keamanan dunia. Babylon (Gereja Trinity yang korup) juga akan runtuh dan Injil yang sebenar akan diumumkan secara terbuka,” tulis Stephen D. Snobelen, kini profesor sejarah, sains dan teknologi di University of King’s College di Halifax.
Newton juga menggariskan dalam suratnya bahawa dia tidak menyukai amalan meramal akhir zaman. Menurutnya, ramalan ini akan menggugat agama apabila ramalan kiamat tidak menjadi kenyataan.
“Saya menyebut ini bukan untuk mengesahkan bila kiamat akan berlaku, tetapi untuk menghentikan tekaan tergesa-gesa orang yang sering meramalkan hari kiamat & dengan itu memburukkan perbuatan suci. Kerana ramalan mereka gagal. Kristus datang sebagai pencuri pada waktu malam dan bukan tugas kita untuk mengetahui masa & musim yang telah Tuhan letakkan dalam dada-Nya sendiri,” tulis Newton dalam surat ramalannya.