Ini senarai 28 kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, sebanyak 28 kawasan larangan merokok telah diwartakan sebagai zon larangan merokok. Antara kawasan yang terlibat termasuk premis dobi dan bangunan tempat kerja, yang kini dimasukkan dalam senarai kawasan larangan berdasarkan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Kawasan larangan merokok lain termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, restoran, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, serta pelbagai lokasi lain.
Mana-mana individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan-kawasan ini boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000.
Pengenalan Akta 852
Akta 852 ialah undang-undang yang mengawal penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau, dan peranti merokok.
Akta ini memberi tumpuan kepada perlindungan golongan orang belum dewasa (OBD) daripada bahaya penggunaan produk merokok, terutamanya rokok elektronik/vape.
Tujuan utama Akta 852 adalah untuk memelihara kesihatan awam dan melahirkan generasi baharu yang bebas daripada pengaruh produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau, dan peranti merokok, serta untuk mengadakan peruntukan yang berkaitan dengan perkara tersebut.
Sebelum ini, penggubalan akta ini dibuat kerana kawalan produk merokok hanyalah sebagai sebuah peraturan-peraturan yang berada di bawah Akta Makanan 1983.
Penguatkuasaan Akta 852
Akta ini akan dikuatkuasakan dalam dua fasa iaitu:
- Penguatkuasaan segera
- Penguatkuasaan berasaskan pendidikan
Penguatkuasaan segera, yang bermula pada 1 Oktober menyasarkan penjualan produk merokok dalam bentuk permainan yang menarik minat kanak-kanak dan remaja, bertujuan untuk mengehadkan ketersediaan mereka, terutama kepada golongan bawah umur.
Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa bagi aspek-aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
Hukuman Merokok Di Tempat Larangan Merokok
Mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan ini dan didapati merokok di kawasan larangan merokok akan dikenakan kompaun sehingga RM5,000.
Senarai 28 Kawasan Larangan Merokok 2025
Sebelum ini, hanya bangunan tempat kerja yang mempunyai pendingin hawa digazetkan dalam senarai tempat larangan merokok. Namun, selaras dengan pelaksanaan Akta 852, premis tempat kerja sama ada terbuka atau mempunyai penyaman udara juga terikat dengan Akta 852.
Penambahan senarai tempat larangan merokok ini melibatkan kedai dobi dan bangunan tempat kerja di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta yang kini diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
Langkah ini diambil bagi memastikan tempat-tempat tersebut bebas daripada aktiviti merokok, yang akan melindungi orang ramai, terutamanya wanita dan anak-anak kecil.
Berikut merupakan senarai 28 kawasan larangan merokok 2025 di Malaysia:
- Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
- Kawasan hospital atau klinik
- Lif atau tandas awam
- Tempat makan
- Kedai berhawa dingin
- Bangunan dobi
- Bangunan hentian pengangkutan awam
- Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
- Kawasan premis kerajaan
- Bangunan Parlimen Malaysia
- Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
- Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
- Kawasan taman asuhan kanak-kanak
- Kaunter perkhidmatan awam
- Kompleks membeli-belah
- Kawasan stesen minyak
- Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
- Kawasan kompleks sukan
- Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
- Kawasan perpustakaan
- Kafe internet
- Kawasan tempat latihan khidmat negara
- Bangunan tempat kerja
- Kawasan rehat dan rawat kecuali tempat letak kereta awam terbuka
- Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
- Di dalam bas sekolah
- Di dalam kenderaan awam
- Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi, dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri