Ini sebab kenapa Tun Daim namakan ‘Menara Ilham’ yang ramai tak tahu.
Allahyarham Tun Daim Zainuddin adalah seorang tokoh politik dan usahawan yang amat dihormati dan dikagumi, baik di dalam negara mahupun di luar negara.
Walaupun beliau telah meninggal dunia, legasi beliau tetap hidup melalui bangunan komersial miliknya, Menara Ilham Baru, yang juga dikenali sebagai Menara IB. Bangunan ini berdiri teguh dan indah di ibu kota negara, menjadi simbol kejayaan dan sumbangan beliau.
Menerusi video TikTok Najwah Halimah, beliau berkongsi pengalamannya apabila bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, mendedahkan sebab beliau menamakan menara tinggi yang terletak di Ampang Park itu sebagai ‘Menara Ilham’ (Menara IB).
“Supaya ia menjadi inspirasi kepada anak bangsa untuk berjaya,” jawab Tun Daim secara ringkas namun penuh makna.
Beliau berharap menara tinggi tersebut dapat menjadi simbol aspirasi dan motivasi, serta mahu melihat generasi muda Malaysia mencapai kecemerlangan.
Setelah beberapa kali bertemu dengan Tun Daim secara peribadi, Najwah menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh yang tidak pernah mencari publisiti, meskipun sumbangannya terhadap negara sangat besar.
Walaupun Tun Daim sering dianggap sebagai figura misteri, beliau sebenarnya sangat mesra, terutama dengan golongan anak muda.
“Tun Daim bukan jenis yang suka mendedahkan dirinya. Tiada memoir yang ditulis, dan buku mengenai beliau juga terhad. Namun, yang lebih menarik adalah jaringan kenalannya yang luas, merentasi pelbagai benua, hingga ke Afrika,” ujar Najwah.
“Pengalaman beliau yang mendalam dan pencapaian luar biasa menjadikan beliau seorang tokoh yang amat dihormati,” tambahnya.
Pada 13 November lalu, Tun Daim Zainuddin telah meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya pada usia 86 tahun.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Persiaran Bukit Tunku. Solat jenazah diadakan selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.