Ini petua simpan beras tahan lama sehingga 2 tahun, kutu beras pun tak berani singgah.
Setelah membeli beras, ia tidak boleh disimpan dalam bekas begitu sahaja kerana dikhuatiri cepat rosak. Oleh itu, anda perlu tahu cara simpan beras yang betul.
Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh ramai orang di dapur adalah kutu beras yang terlalu banyak hingga penat untuk mengasingkannya sebelum masak.
Untuk elakkan kutu beras daripada masuk ke dalam bekas, anda boleh gunakan cara simpan beras yang dikongsikan oleh Sha Ramson Abdullah di Facebook ini.
Bukan sahaja tipsnya sangat berguna, malah beras juga menjadi lebih tahan lama. Jom kita tengok caranya!
- 1 bekas: 400 gram
- 10kg beras: 25 bekas
- FIFO (first in first out)
- Tempoh penyimpanan: 1 tahun hingga 2 tahun
Cara-cara:
1. Mula-mula, masukkan beras dalam bekas secara berperingkat.
2. Bagi lapisan pertama, masukkan beras separuh bekas. Kemudian, masukkan 3 hingga 4 potongan kecil bawang putih.
3. Bagi lapisan kedua pula, masukkan beras sampai penuh bekas. Kemudian, masukkan 2 potongan kecil bawang putih.
4. Akhir sekali, pastikan beras betul-betul penuh.
Jika goncang bekas dan masih berbunyi, maksudnya ada ruang kosong dalam bekas tersebut. Penuhkan bekas dengan beras sehingga tiada bunyi apabila digoncang. Siap!
Setelah menggunakan cara simpan beras ini, anda akan terkejut kerana beras nampak sangat cantik. Bukan sahaja tiada serangga dan kutu dalam bekas, malah bau beras pun tetap elok.
Ramai yang sudah cuba letakkan cengkih, cili kering dan kayu manis, tetapi beras masih berkutu. Oleh itu, anda boleh cuba cara simpan beras dengan menggunakan bawang putih pula.
Kami yakin pasti ramai di kalangan keluarga dan kawan-kawan anda yang masih menggunakan cara lama, jadi jangan lupa ajarkan tips ini kepada mereka nanti.
Semoga bermanfaat!