Ini pemain badminton paling banyak terima hadiah wang tunai pada tahun 2024.
Pemain badminton perseorangan wanita ranking kedua dunia, Wang Zhi Yi dari China, telah mencipta pencapaian luar biasa dalam kerjayanya pada tahun 2024.
Beliau baru sahaja menjuarai kejohanan BWF World Tour Finals 2024 selepas menewaskan rakan senegaranya, Han Yue, dengan keputusan 19-21, 21-19, 21-11. Kemenangan manis ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $200,000 (RM893,003.44).
Selain kejayaan di Hangzhou itu, pemain berusia 24 tahun ini turut memenangi gelaran juara di Kejuaraan Badminton Asia, Terbuka China (Super 1000), Terbuka Denmark (Super 750), Indonesia Masters, dan Masters berstatus Super 500.
Secara keseluruhannya, Wang Zhi Yi membawa pulang lima gelaran juara dan sekali muncul naib juara, iaitu di Terbuka Korea, apabila beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Daripada enam kejohanan tersebut sahaja, Wang Zhi Yi telah memperoleh wang tunai berjumlah $494,000 (RM2,208,868.65). Ditambah dengan pendapatan daripada penyertaan dalam pelbagai kejohanan lain di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), jumlah keseluruhan yang diraih oleh Wang Zhi Yi dianggarkan sebanyak $568,645 (RM2,542,469.83), menurut laporan laman Badminton World Tour.
Pencapaian ini menjadikan Wang Zhi Yi pemain dengan pendapatan tertinggi pada musim 2024, mengatasi pemain lain dari semua kategori.
Walaupun tidak dapat dipastikan bagaimana polisi kerajaan China terhadap pembahagian wang kemenangan atlet mereka, apa yang dicapai oleh Wang Zhi Yi menjadi simbol kekuatan negara tersebut dalam arena sukan badminton.