Ini cara baharu sistem kamera AwAS tangkap pesalah ‘Speedtrap’ yang ramai orang tak tahu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan menggunakan kaedah pemantauan antara dua titik (point-to-point).
Melalui pelaksanaan baharu ini, pemantauan kelajuan kenderaan dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh, lapor Astro Awani. Purata kelajuan kenderaan akan dikira berdasarkan jarak dan masa perjalanan antara dua titik kamera.
“Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi perlahan dalam jarak tertentu.
“Katakan antara titik A dan titik B, kita ingin tahu berapa lama pemandu mengambil masa perjalanan.
“Jika masa yang diambil kurang daripada yang sepatutnya, itu bermaksud dia memecut dan tindakan saman akan dikenakan,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan kaedah baharu ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi, seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.
“Objektif kita adalah memastikan kenderaan, terutama bas, memperlahankan kelajuan supaya pemandu tidak memecut ketika menuruni bukit.
“Kaedah sekarang kurang berkesan. Walaupun kamera dipasang, kenderaan hanya perlahan di kawasan tersebut, tetapi memecut semula selepas itu,” katanya.
Anthony Loke berharap penambahbaikan sistem kamera AwAS ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.
Untuk rekod, sehingga Disember 2024, terdapat kira-kira 45 kamera AES/AwAS yang dipasang di seluruh negara.