Ini 7 tanda perubahan pada kuku petunjuk awal anda berpenyakit

Photo of author

By Syima Iza

Ini 7 tanda perubahan pada kuku petunjuk awal anda berpenyakit.

Kuku kaki atau tangan mempunyai fungsi tersendiri dan secara umumnya berperanan sebagai pelindung kepada hujung jari.

Selain itu, kuku juga penting untuk memberikan sensitiviti terhadap deria sentuh. Kuku turut memberi gambaran dan petunjuk kepada tahap kesihatan seseorang, malah ia juga boleh menunjukkan masalah yang serius termasuk penyakit jantung.

Ini 7 tanda perubahan pada kuku petunjuk awal anda berpenyakit

Sehubungan itu, adalah penting bagi setiap individu untuk memerhatikan sebarang perubahan pada kuku masing-masing kerana ada kemungkinan masalah tersebut perlu dirujuk kepada doktor.

Seorang doktor mengesahkan bahawa perubahan pada keadaan kuku mungkin menandakan penyakit jantung atau hipotiroidisme (keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi kurang aktif dan pengeluaran hormon tiroid berkurangan, mengakibatkan fungsi badan menjadi perlahan).

Oleh itu, masalah kesihatan lain juga perlu ditangani secepat mungkin.

Namun begitu, kebiasaannya perubahan pada warna atau tekstur kuku jari dan kaki tidak memberikan petanda buruk.

Sebaliknya, tanda seperti lekuk dan garisan pada kuku boleh memberi isyarat awal mengenai kekurangan atau masalah kesihatan yang teruk termasuk penyakit jantung dan hati.

Keadaan kuku mungkin berubah dan ini adalah perkara biasa, contohnya menjadi lebih rapuh apabila usia meningkat.

Pakar perubatan menjelaskan bahawa perubahan tekstur kuku juga biasanya berlaku semasa kehamilan, namun ia sepatutnya kembali normal dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan bayi.

Walau bagaimanapun, seseorang itu perlu berjumpa dengan doktor jika terdapat perubahan pada kuku yang tidak dapat dijelaskan, seperti kecederaan.

Selain itu, seseorang juga perlu merujuk doktor sekiranya kulit di sekeliling kuku menjadi merah, bengkak, dan sakit kerana ini mungkin menunjukkan adanya jangkitan.

7 Simptom Penyakit

Dr. Bhavini Shah dari LloydsPharmacy Online Doctor mengenal pasti tujuh gejala berkaitan masalah kesihatan yang mungkin ditunjukkan oleh kuku.

  1. Kuku Berbentuk Sudu – Kekurangan Zat Besi

Kuku berbentuk sudu yang melengkung ke dalam menunjukkan kekurangan zat besi, anemia, atau zat besi dalam darah yang rendah.

Dr. Bhavini berkata, gejala ini termasuk keletihan, sesak nafas, kulit pucat, dan sakit kepala.

Beliau menyatakan bahawa penting untuk mengenal pasti punca anemia, dan doktor mungkin akan mengesyorkan ujian darah untuk memeriksa kiraan sel darah merah.

“Biasanya, gejala ini boleh dirawat dengan menggunakan tablet zat besi dan makan makanan kaya zat besi seperti daging merah, kekacang, dan buah-buahan kering seperti aprikot,” katanya.

  1. Kuku Longgar – Gejala Hipertiroidisme

Simptom kedua adalah kuku yang kelihatan longgar, yang menggambarkan gejala hipertiroidisme, di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon tertentu secara berlebihan.

“Kuku longgar adalah simptom biasa hipertiroidisme, dengan tanda lain termasuk kebimbangan, masalah tidur, penurunan berat badan, dan keletihan,” katanya.

  1. Kuku Rapuh – Masalah Tiroid

Simptom ketiga adalah kuku rapuh, yang merupakan tanda biasa bagi mereka yang mempunyai masalah tiroid tidak aktif, juga dikenali sebagai hipotiroidisme.

Ini berlaku apabila kelenjar tiroid kurang menghasilkan hormon, dan amat penting untuk masalah ini didiagnosis secepat mungkin.

“Ini biasanya dilakukan melalui ujian darah. Gejala yang disertakan termasuk penambahan berat badan, rambut menipis, otot dan sendi kaku, serta kemurungan,” katanya.

  1. Garis Merah atau Ungu – Petanda Penyakit Jantung

Garis merah atau ungu di bawah kuku boleh menandakan penyakit jantung. Dr. Bhavini menyatakan gejala lain termasuk keletihan melampau, pergelangan kaki bengkak, serta sakit di dada, perut, kaki, lengan, rahang, atau bahagian belakang.

  1. Kuku Putih – Petanda Penyakit Hati

Simptom kuku putih, di mana dua pertiga lapisan kuku bertukar warna, boleh menjadi petanda penyakit hati, dengan gejala lain termasuk keletihan, kulit kuning, dan hilang selera makan.

  1. Lekuk Kecil pada Kuku – Petanda Ekzema

“Simptom dengan lekukan kecil pada kuku biasanya berlaku kepada mereka yang mengalami gangguan kulit seperti psoriasis, ekzema, dan alopecia areata.

“Sebagai contoh, psoriasis biasanya menyebabkan tompok kering dan bersisik pada kulit, manakala ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, gatal, retak, dan sakit. Alopecia areata pula melibatkan keguguran rambut,” katanya.

  1. Garis Mendatar pada Kuku – Gangguan Sementara Tumbuh Kuku

Garis mendatar pada kuku mungkin adalah garisan Beau yang berlaku apabila terdapat gangguan sementara semasa pertumbuhan kuku, biasanya disebabkan oleh penyakit atau jangkitan yang teruk.

Sebahagian individu mempunyai garisan Beau selepas mereka dijangkiti COVID-19, dan rujukan kepada doktor perlu dilakukan untuk mengenalpasti tahap kesihatan pesakit.

Baca Juga:
Kecoh khabar angin Jalan Yap Ah Loy ditukar nama Jalan Palestin, ini penjelasan DBKL
Bapa terlanjur dengan anak, mahu ceraikan isteri kerana mahu kahwin dengan anak sendiri
7 kali dipanah petir tapi masih hidup, lelaki ini digelar ‘manusia penebat petir’