Ini 10 asal-usul nama makhluk seram kisah fiksyen barat yang terkenal.
Hantu dan makhluk alam ghaib atau ‘supernatural’ telah memukau tamadun manusia selama berabad-abad, seringkali diceritakan secara hikayat turun-temurun yang akhirnya diperkuatkan dalam rekaan kisah fiksyen.
Dalam tamadun barat, terdapat beberapa nama makhluk ghaib yang membawa sejarah yang kaya dan makna budaya yang mendalam, berakar umbi daripada lokasi tempat kisahnya mula diceritakan.
Berikut adalah penjelasan ringkas berkenaan asal-usu sepuluh nama makhluk menyeramkan terkenal masyarakat barat.
1. Vampire
Perkataan “vampire” berasal daripada bahasa Perancis “vampyre,” yang dipinjam daripada bahasa Jerman “Vampir.” Istilah ini dikatakan dipinjam daripada istilah bahasa Serbia “vampir” yang berakar umbi dari bahasa Slavik atau mungkin juga Turki.
Vampire pada asalnya merupakan sebahagian daripada cerita rakyat Eropah Timur, di mana makhluk ini adalah mayat yang dihidupkan semula dan perlu memakan darah manusia.
Kini, vampire menjadi figura ikonik dalam budaya popular, sering muncul dalam karya sastera, filem, dan siri televisyen. Dan kita semua tahu, watak vampire paling terkenal dalam karya fiksyen sudah tentulah yang digunakan dalam siri filem ‘Twilight.’
2. Dracula
“Dracula” berasal dari bahasa Romania “Drăculea,” yang bermaksud “anak kepada Dracul.” Dari segi bahasanya, “Dracul” bermaksud “naga” atau “syaitan” dalam bahasa Romania dan nama ini disebut dalam konteks negatif, kerana dijadikan gelaran kepada Vlad II, bapa kepada pemerintah kejam Romania, Vlad the Impaler.
Vlad the Impaler terkenal dengan kaedah kejam menganiaya musuhnya, yang menginspirasikan novel karya Bram Stoker pada tahun 1897 bertajuk “Dracula.” Penghasilan novel ini menjadikan label ‘Dracula’ sinonim dengan penataan makhluk kejam ini dalam budaya popular.
Dracula kekal sebagai figura vampire yang klasik, mempengaruhi banyak adaptasi dan interpretasi dalam media serta masih menjadi antara watak kisah seram paling popular di serata dunia.
3. Poltergeist
Konsep poltergeist telah dipopularkan melalui filem klasik “Poltergeist” (1982), yang menggambarkan roh-roh ini sebagai kuasa jahat.
Istilah ini berasal daripada gabungan perkataan dalam bahasa Jerman, “poltern” (berbunyi bising) dan “Geist” (hantu atau roh), yang secara literal membawa maksud “hantu bising.”
Berikutan popularitinya di kalangan masyarakat, poltergeist dipercayai wujud sebagai jenis roh yang nakal, yang mampu menyebabkan gangguan fizikal seperti bunyi bising yang kuat dan menggerakkan objek.
4. Banshee
“Banshee” berasal dari bahasa Ireland “bean sídhe,” yang bermaksud “wanita pari-pari.” Namun, ia bukanlah versi yang cantik.
Dalam cerita rakyat Ireland, banshee adalah roh yang menangis untuk mengingatkan keluarga yang masih hidup agar bersedia menghadapi kematian yang bakal berlaku, sering dikaitkan dengan keluarga tertentu yang terkenal di kalangan ahli masyarakat mereka.
Banshee sering muncul dalam pelbagai media sebagai lambang petanda kematian dan unsur supernatural, selain menjadi watak besar dalam siri komik X-Men.
5. Ghoul
Istilah “ghoul” berasal dari bahasa Arab “ghūl,” yang merujuk kepada makhluk jahat atau raksasa yang memakan daging manusia.
Kisah dan hikayat mengenai makhluk ini telah lama wujud, bahkan sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi. Ghoul wujud sebagai makhluk yang sering digambarkan sebagai pencuri kubur.
Dalam fiksyen moden, watak makhluk ghoul sering digambarkan sebagai makhluk yang lemah dan lembap, tetapi masih digambarkan sebagai makhluk yang memakan daging.
6. Zombie
“Zombie” berasal dari bahasa masyarakat Haiti iaitu Creole yang menggunakan istilah “zonbi,” yang diambil daripada perkataan Afrika Barat “nzambi,” yang bermaksud “roh orang mati.”
Zombie asalnya adalah sebahagian daripada kepercayaan pengamal ilmu voodoo di Haiti, di mana mereka percaya pengamal mampu menghidupkan semula mayat dan mengawal pergerakannya melalui ilmu mistik.
Berbeza dengan adik-beradiknya ghoul, zombie boleh dikatakan lebih popular dalam paparan fiksyen, menjadi elemen utama dalam genre seram yang dipopularkan melalui filem seperti “Night of the Living Dead” dan rancangan TV seperti “The Walking Dead.”
7. Wraith
Asal usul perkataan “wraith” tidak dapat dipastikan dengan tepat, tetapi dipercayai berasal dari dialek Scotland yang membawa maksud “hantu” atau “bayangan.” Ia dipercayai berkait dengan perkataan Norse lama “vǫrðr,” yang bermaksud “penjaga” atau “pengawas.”
Sama seperti banshee, kisah kemunculan wraith sering dianggap sebagai petanda akan berlaku kematian kerana wraith adalah roh orang mati yang mampu melihat alam ghaib, dalam cerita rakyat Scotland.
Wraith sering muncul dalam sastera fantasi dan permainan, sering digambarkan sebagai bayangan atau roh jahat.
8. Specter
“Specter” berasal daripada bahasa Latin “spectrum,” yang bermaksud “penampilan” atau “bayangan”, dipinjam ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Perancis.
Berikutan statusnya yang samar-samar, specter dianggap sebagai penampakan hantu atau manifestasi orang mati yang tidak kelihatan jelas dan menghampiri ilusi.
9. Phantom
Perkataan “phantom” berasal dari bahasa Perancis lama “fantosme,” yang pada asalnya berasal dari bahasa Latin “phantasma,” bermaksud “hantu” atau “penampakan.”
Istilah Latin ini berasal daripada bahasa Yunani “phantasma.”
Seperti wraith, phantom dilihat sebagai bayangan atau ilusi, sering dikaitkan dengan gerakan muncul secara sejenak. Dalam karya fiksyen, phantom sering digunapakai sebagai metafora melalui persembahan “The Phantom of the Opera.”
10. Revenant
Penulis sendiri sebenarnya tidak tahu pun istilah ini mewakili makhluk ghaib. Pada awalnya, penulis ingatkan istilah “revenant” ini mewakili pangkat seseorang.
“Revenant” berasal dari bahasa Perancis “revenant,” yang bermaksud “seseorang yang kembali daripada kematian,” dan berasal daripada kata kerja “revenir” yang bermaksud “kembali.”
Revenant dipercayai akan muncul sebagai orang mati yang hidup semula untuk menyelesaikan urusan yang gagal diselesaikan semasa hayatnya atau mungkin juga untuk menuntut dendam yang belum selesai.
Revenant sering muncul dalam karya seram dan fantasi, melambangkan makhluk undead atau roh yang mencari pembalasan. Selain itu, salah sebuah filem kegemaran penulis juga diberikan judul ‘The Revenant.’ Sekarang baru penulis faham kenapa!