‘Ingatkan semut’ lelaki terkejut buah zakar digigit ular sawa ketika buang air dalam tandas.
Seekor ular sawa sepanjang hampir 2 meter telah menggigit kemaluan seorang lelaki ketika dia sedang duduk di atas mangkuk tandas di rumahnya di Bangkok, lapor portal berita Khaosod kelmarin.
Thanat Tangtewanont berkata, dia bangun untuk menggunakan bilik air di tingkat dua rumahnya pada 19 Ogos lalu. Ketika sedang duduk dan menggunakan telefonnya, Thanat merasakan sesuatu menyentuh buah zakarnya. Pada awalnya, dia hanya terasa seperti digigit semut, namun dia tidak mempedulikan perkara itu.
Apabila gigitan tersebut menjadi semakin kuat dan menyakitkan, Thanat segera berdiri dan melihat ke bawah. Dia terkejut mendapati bahawa mulut seekor ular sawa sedang melekat pada buah zakarnya.
Thanat yang panik segera ‘mencekik’ leher reptilia itu, menyebabkan ular tersebut melepaskan gigitannya. Dalam keadaan terkejut, dia sempat merakam video untuk menunjukkan kepada teman wanitanya bahawa dia telah digigit oleh seekor ular.
Dia cuba menarik ular itu keluar dari mangkuk tandas selama kira-kira 10 minit, tetapi usahanya gagal. Thanat kemudian memukul kepala ular tersebut berulang kali dengan tangan dan berus tandas.
Akhirnya, ular tersebut merayap keluar dari tandas. Seorang jiran yang dihubungi oleh mangsa kemudian menelefon pasukan kecemasan untuk menangkap ular itu.
Thanat kemudiannya dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.