‘Ingatkan iti daging, rupanya gigi manusia dalam kuih bulan’.
Seorang wanita di China terkejut apabila mendakwa telah menemui gigi manusia dalam kuih bulan berisi daging yang dibelinya dari pasaraya Sam’s Club di Changzhou, Jiangsu, China Timur.
Wanita tersebut memuat naik video penemuan mengejutkan itu di platform perkongsian video China, Douyin, pada 5 September lalu ketika sedang makan kuih bulan yang dibeli dengan harga 30 yuan (RM18.20).
Dalam video tersebut, kelihatan tangan seseorang memegang sesuatu yang menyerupai gigi geraham manusia, dengan inti daging yang terperangkap di dalamnya, diletakkan di atas sekeping tisu di samping kuih bulan yang telah separuh dimakan.
“Keluarga saya baru sahaja makan ini… lihat apa yang mereka makan? Ia menakutkan,” katanya melalui suara latar dalam video tersebut. Dia turut menyatakan bahawa gigi itu bukan milik mana-mana ahli keluarganya.
Wanita itu segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis, lapor South China Morning Post hari ini.
Seorang pengguna Douyin menyatakan bahawa ia menjijikkan untuk menemukan gigi manusia dalam kuih bulan.
Di laman X, video tersebut turut dikongsi seorang pengguna dengan kapsyen “Ia bukan sahaja mengandungi daging, tetapi juga menyediakan kalsium.”
Menurut laporan Yangtze Evening News, Sam’s Club, sebuah rangkaian pasaraya dari Amerika Syarikat (AS), telah melakukan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, pengeluar kuih bulan yang tidak dinamakan menegaskan bahawa kejadian sebegini adalah “mustahil,” lapor Hongxing News.
Menurut seorang jurucakap bernama Liu, semua daging yang digunakan dalam produk mereka dihancurkan dengan teliti dan diperiksa menggunakan teknologi sinar-X bagi mengesan serpihan tulang, menjadikan kehadiran gigi manusia sangat mustahil.
Liu turut mendakwa bahawa masalah seperti ini tidak pernah berlaku sepanjang lebih dari satu dekad pengeluaran mereka sebelum ini.
Rakaman CCTV dari pihak pengeluar sudah diserahkan kepada Sam’s Club dan pihak berkuasa kawal selia tempatan untuk siasatan lanjut.
Ini bukan kali pertama Sam’s Club, sebuah rangkaian pasaraya keahlian popular, menghadapi kritikan atas isu keselamatan makanan di China.
Pada tahun 2022, seorang lelaki dari wilayah Fujian mengalami kecederaan apabila memecahkan giginya setelah didakwa menggigit kek ‘Swiss roll’ yang mengandungi tiga gigi tiruan manusia.
Walaupun Sam’s Club berjanji untuk menjalankan siasatan, tiada kesimpulan yang diumumkan secara terbuka.
Pada tahun yang sama, pasaraya tersebut turut didenda 30,000 yuan (RM18,184) kerana menjual strawberi berkulat, dan 65,000 yuan (RM39,400) kerana membekalkan susu tepung tamat tempoh di beberapa cawangan lain di seluruh negara.
Sam’s Club, yang memasuki pasaran China pada tahun 1996, kini mengendalikan 49 lokasi di seluruh negara dan telah dikenakan lebih daripada 20 denda atas pelanggaran peraturan keselamatan makanan dan pengiklanan palsu.
Namun begitu, rangkaian ini masih mempunyai lebih dari 5 juta ahli, di mana setiap ahli membayar sekurang-kurangnya 260 yuan (RM157.60) setiap tahun untuk keahlian mereka.