Individu dedah pasangan Myanmar ini jual mi wantan di Kuala Lumpur mampu raih pendapatan 5 angka.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun, ramai individu yang mengalami kesukaran untuk meraih pendapatan yang secukupnya, terutamanya bagi imigran di negara ini.
Bagaimanapun, tular kisah sebuah pasangan dari Myanmar yang mampu meraih pendapatan yang lumayan hanya dengan menjual mi wantan sahaja.
Memetik laman WeirdKaya, kisah ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna FB dalam sebuah grup, di mana dia menulis bahawa dia telah berbual dengan pasangan Myanmar yang mengusahakan gerai Mi Wantan di Kuala Lumpur.
Dalam perbualan tersebut, wanita itu mendapati pasangan terbabit mampu menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa di Segambut, di mana kos yuran mencecah RM1,550 sebulan.
Selain itu, mereka juga menyewa sebuah unit apartmen dengan harga RM1,700 sebulan dan perlu membelanjakan lagi RM1,600 untuk sewa kedai agar mereka dapat menjalankan bisnes mi wantan selama 6 hari seminggu.
Apabila disoal oleh wanita tersebut berapakah jumlah pendapatan bulanan yang diraih, pasangan Myanmar itu hanya memberi respons bahawa ia sudah mencecah lima angka. Namun begitu, mereka tidak berkongsi angka berkenaan secara terperinci.
Susulan mendengar kisah pasangan itu, Chin meluahkan rasa teruja dengan pencapaian mereka dan mengajak rakyat Malaysia untuk mengikuti contoh sedemikian.
“Saya harap semua orang akan terus melakukan yang terbaik. Jika pekerja asing mampu melakukannya, kami juga boleh!” tulisnya.
Menelusuri ruangan komen, netizen turut terpegun mendengar kisah bagaimana pasangan Myanmar mampu menjana pendapatan lima angka dengan menjual mi sahaja.
Ada yang berseloroh mahu menukar bidang pekerjaan dan masuk ke dunia perniagaan kerana kemampuan menjana pendapatan yang lumayan.